Kiriman pada: Mon, Nov 2nd, 2015

KWSP Lancar Khidmat Nasihat Persaraan Di Ipoh

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI NAJIB TUN RAZAKIpoh – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melancarkan Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) di Bangunan KWSP Ipoh di sini bertujuan meningkatkan tahap kecelikan pencarumnya dalam soal persediaan kewangan untuk meniti alam persaraan.

Majlis pelancaran disempurnakan Ketua Jabatan Rangkaian Perkhidmatan KWSP Mohd Rodzi Abu Bakar.

Khidmat sama turut dilancarkan di Kuantan, Pahang dan Kota Kinabalu, Sabah hari ini.

Dalam ucapannya, Mohd Rodzi berkata pelaksanaan projek perintis inisiatif itu bermula di KWSP Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor pada Julai 2014 sebelum diperluas ke Johor Bahru, Johor dan Seberang Jaya, Pulau Pinang pada Ogos lepas.

“Penubuhan pejabat RAS adalah yang pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara dan merupakan inisiatif strategik di bawah Kecemerlangan Keselamatan Sosial, Pelan Perancangan Strategik KWSP 2013 hingga 2017,” katanya.

Beliau berkata sehingga 30 Sept tahun ini, 6,151 anggota telah mendapatkan khidmat RAS di empat pejabat KWSP berkenaan.

“Testimoni pengguna perkhidmatan ini juga sangat menggalakkan dan ada yang mencadangkan supaya khidmat RAS ini diperluas ke cawangan lain di seluruh negara,” katanya.

Mohd Rodzi berkata pegawai RAS cukup terlatih dan telah menjalani latihan intensif dengan beberapa agensi berkaitan pengurusan kewangan di negara ini.

Dengan pembukaan RAS ini, beliau berharap ia dapat membantu anggota merancang persaraan dan sebarang keputusan yang dibuat oleh mereka, khususnya berkaitan simpanan KWSP adalah berdasarkan pengetahuan dan kesedaran mengenai implikasi dan risiko ke atas kecukupan simpanan persaraan mereka.

“Kepada anggota di cawangan ini, ambillah peluang keemasan ini untuk meluangkan masa mengalami sendiri sesi perundingan dan nasihat RAS, seterusnya jadikan testimoni anda sebagai penggalak kepada yang lain untuk mencuba perkhidmatan ini,” katanya.

Beliau berkata promosi di peringkat negeri akan dijalankan secara bersepadu agar capaian perkhidmatan itu memberi manfaat kepada anggota KWSP setempat.

Mohd Rodzi berkata Malaysia sedang mengalami penuaan penduduk dan purata jangka hayat rakyat Malaysia kini adalah 75 tahun menyebabkan rakyat memerlukan simpanan persaraan yang lebih banyak untuk membiayai kos persaraan bagi tempoh lebih panjang.

“Kebanyakan anggota KWSP tidak mempunyai simpanan yang mencukupi kerana tempoh mengumpul simpanan adalah singkat berbanding tempoh persaraan yang panjang serta kos hidup dan kesihatan yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata setakat 31 Dis tahun lepas, sebanyak 68 peratus daripada anggota yang berumur 54 tahun mempunyai jumlah simpanan lebih rendah daripada RM50,000.

“Sekiranya anggota membelanjakan RM820 sebulan ketika bersara, jumlah simpanan itu hanya mampu bertahan selama lima tahun sahaja, sedangkan tempoh persaraan adalah 15 ke 20 tahun.

“Tambahan pula, kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai tahap kecelikan kewangan yang amat rendah. Mengikut laporan yang dihasilkan oleh UNDP, sebanyak 90 peratus daripada isi rumah yang menetap di luar bandar dan 86 peratus daripada isi rumah yang menetap di bandar tidak mempunyai sebarang simpanan melainkan KWSP,” katanya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.