Kiriman pada: Mon, Feb 15th, 2016

Laluan khas hidupan liar di lebuh raya

Kongsi maklumat ini
Tags

TR01_150216_JUNAIDI_PANTAIKUALA NERUS: Kerajaan mencadangkan laluan khas untuk haiwan liar dibina, terutama membabitkan projek lebuh raya bagi menyelesaikan masalah binatang mati dilanggar kenderaan ketika melintas.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) diarah mengenal pasti laluan hidupan liar dan membentangkan cadangan kepada pihak terbabit dalam pembinaan lebuh raya untuk dimasukkan dalam pakej projek.

Katanya, isu hidupan liar mati dilanggar kenderaan ketika melintas sudah dibincangkan pada mesyuarat khas membabitkan beberapa kementerian minggu lalu.

“Pakej pembinaan laluan khas untuk hidupan liar hanya membabitkan projek pembinaan lebuh raya atau jalan baharu.

“Bagi laluan sedia, kita meminta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melakukan rondaan dan mengambil tindakan membaiki kerosakan pagar.

“Kerajaan memerlukan antara RM3 juta hingga RM4 juta untuk membina laluan khas hidupan liar kawasan sedia ada dan langkah terbaik ialah dengan membina pagar,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja dan meninjau pelaksanaan projek mencegah hakisan pantai Tok Jembal, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azizan Ahmad; Pengarah Unit Perancang Ekonomi (UPEN) negeri, Zainal Abidin Hussin; Pegawai Daerah Kuala Nerus, Azmi Razik; serta Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Datuk Basir Ismail.

Mengenai masalah pemburu haram, Wan Junaidi berkata, PERHILITAN diminta mengurangkan pengeluaran lesen memburu.

“Jika masalah pemburuan haiwan liar masih berterusan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menarik balik lesen senjata api individu yang melakukan pemburuan kerana tindakan mereka boleh menjejaskan ekosistem rantaian makanan haiwan di hutan,” katanya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.