Kiriman pada: Thu, Nov 3rd, 2016

Laporan Audit: Najib Akan Fail Bantahan Awal Terhadap Permohonan Azmin

Kongsi maklumat ini
Tags

awalKuala Lumpur – Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua pihak lagi akan memfailkan bantahan awal terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi mencabar keputusan Ketua Audit Negara yang mengklasifikasikan Laporan Ketua Audit Negara ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai rahsia rasmi.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan kepada pemberita selepas pengurusan kes tersebut dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hanipah Farikullah hari ini.

Suzana mewakili perdana menteri, Ketua Audit Negara, Tan Sri Amrin Buang serta kerajaan Malaysia sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Suzana berkata bantahan awal itu akan difailkan dalam masa terdekat. Katanya, mahkamah menetapkan 18 Nov ini untuk pengurusan kes berkenaan.

Dalam permohonan yang difailkan pada 15 Ogos lepas, Mohamed Azmi menuntut suatu deklarasi bahawa tindakan responden pertama mengklasifikasikan laporan mengenai 1MDB sebagai rahsia rasmi adalah suatu tindakan dalam konflik kepentingan.

Menteri Besar Selangor dan timbalan presiden PKR itu juga menuntut suatu deklarasi bahawa klasifikasi laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi oleh responden kedua adalah menyalahi undang-undang dan ultra vires Perlembagaan Persekutuan, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan/atau Akta Audit 1957.

Selain itu, beliau juga menuntut suatu perintah ‘mandamus’ bagi memaksa semua responden, pekerja-pekerja, pegawai-pegawai, ejen-ejen atau dengan apa jua cara dengan serta-merta untuk mengklasifikasikan semula Laporan 1MDB menurut Seksyen 2C OSA 1972 dan menyiarkannya kepada orang ramai.

Mohamed Azmin mengemukakan tuntutan berkenaan dengan alasan bahawa keputusan untuk mengklasifikasikan laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi adalah tidak berpelembagaan kerana melanggar Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan.

Dakwanya keengganan responden untuk mengklasifikasikan semula laporan berkenaan adalah tidak munasabah.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.