Kiriman pada: Fri, Jul 10th, 2015

Laporan penuh Ketua Audit Negara akan jawab semua dakwaan isu 1MDB

Kongsi maklumat ini
Tags

1mdb-malaysiaKUALA LUMPUR: Laporan penuh Ketua Audit Negara akan menjawab segala dakwaan yang mengaitkan beliau dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Datuk Seri Najib Razak.

Justeru, Perdana Menteri berkata beliau tidak akan membuat sebarang pengumuman (mengenai dakwaan terhadapnya) dan membiarkan Tan Sri Ambrin Buang (Ketua Audit Negara) melaporkan perkara itu.

“Saya sebagai perdana menteri sesungguhnya saya tidak akan mengambil apa-apa yang berhak kepada rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan program Nur Ramadan 2015 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Masjid Salahuddin Al Ayyubi, Taman Melati, di sini, malam tadi.

Beliau seterusnya mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan perkara yang ‘karut-mengarut’ di media sosial kerana kebenaran akan muncul pada akhirnya.

Terdahulu, Najib mengumumkan beberapa berita gembira yang bakal dinikmati oleh penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Katanya kerajaan akan membina 11 buah tempat letak kereta bertingkat di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bernilai RM290 juta di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bagi golongan yang kurang berkemampuan, katanya, kerajaan dengan kerjasama swasta menjalankan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) membina Rumah Gelandangan di Medan Tuanku dan Jalan Pekeliling yang akan siap tidak lama lagi.

Najib berkata beliau akan meninjau sendiri projek bernilai RM17 juta itu yang akan menawarkan kemudahan tempat tinggal selesa kepada golongan gelandangan di ibu negara.

Perdana menteri kerajaan juga bersetuju untuk menjual rumah pangsa Sri Tioman, di Taman Melati kepada penyewa yang telah menghuni sejak 20 tahun lepas pada harga yang berkemampuan.

“Kerajaan akan melakukan apa sahaja keperluan untuk rakyat jelata kerana kita mahu jaga hati rakyat dan rakyat pasti akan jaga hati kita apabila sampai masanya,” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 2,000 daripada 8,500 golongan asnaf terdiri daripada anak yatim, warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya di sekitar Wilayah Persekutuan menerima sumbangan wang tunai.

Najib diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut menunaikan solat Isyak dan Tarawih bersama kira-kira 3,000 warga ibu kota.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.