Kiriman pada: Fri, Feb 26th, 2016

Laporan TMI berkenaan panel SPRM mengelirukan

Kongsi maklumat ini
Tags

Khalid-Abu-Bakar2KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini telah mengarahkan Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) Polis Diraja Malaysia (PDRM) memanggil Ketua Editor The Malaysian Insider (TMI), Jahabar Sadiq.

Dalam posting di Twitter beliau hari ini, Khalid berkata ia susulan laporan yang disiarkan oleh TMI berkenaan panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disifatkannya telah mengelirukan orang ramai.

Semalam, Panel Penilaian Operasi (PPO) yang menasihati SPRM menafikan mempunyai bukti mencukupi untuk mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang dilaporkan portal berita The Malaysian Insider hari ini.

Pengerusinya Tan Sri Hamid Bugo menafikan sekeras-kerasnya penglibatan dirinya dalam laporan tersebut yang memetik sumber tanpa nama sebagai pemberi maklumat.

Pada Khamis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat laman TMI ekoran tindakan portal berkenaan yang telah mengeluarkan kandungan-kandungan yang menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam kenyataan tersebut, SKMM menyatakan bahawa sekatan tersebut juga dilakukan berdasarkan aduan-aduan dan maklumat yang diterima daripada orang ramai.

Sehubungan itu, MCMC memperingatkan portal-portal berita agar tidak menyebarkan atau menyiarkan artikel-artikel yang tidak ditentukan kesahihannya. Ini kerana, tindakan sedemikian boleh mengundang kekeliruan dan mencetuskan situasi yang tidak diingini.
Akses kepada portal berita itu telah mula disekat petang Khamis oleh beberapa penyedia jaringan Internet atas alasan ia telah ‘melanggar undang-undang negara’.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.