Kiriman pada: Mon, Feb 15th, 2016

Lebih 1,000 saman JPJ di Negeri Sembilan ketika Tahun Baru Cina

Kongsi maklumat ini
Tags

dghklNilai – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mengeluarkan sebanyak 1,116 saman pelbagai kesalahan dalam operasi dua minggu sempena sambutan Tahun Baharu Cina, bermula 1 Feb lepas.

Penolong Pengarah (Bahagian Penguatkuasa) Rosilan Md Saari berkata operasi yang dijalankan sebanyak empat siri itu meliputi sekatan jalan raya, penyamaran anggota dan penyamaran bergambar.

Katanya, bagi operasi bersepadu dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen dan Kastam, sebanyak 470 saman dikeluarkan antaranya membabitkan kesalahan tiada cukai jalan dan insurans kenderaan serta tiada lesen memandu.

“Selain itu, sebanyak 21 kenderaan disita iaitu 18 motosikal, dua kereta dan sebuah lori.

“Bagi penyamaran anggota JPJ (sebagai penumpang bas ekspres) sehingga ke destinasi, sebanyak 90 saman dikeluarkan antaranya menggunakan telefon bimbit, memakai selipar, merokok dan memandu di lorong kanan,” katanya kepada pemberita dalam operasi di sini, malam tadi.

Rosilan berkata bagi operasi penyamaran bergambar, iaitu kesalahan dikesan oleh anggota yang ditempatkan di beberapa persimpangan lampu isyarat, sebanyak 556 saman dikeluarkan.

“Antara kesalahanya ialah memandu di lorong kecemasan, tidak memakai topi keledar dan membuat pusingan U secara haram,” katanya.

Bagi Imigresen, daripada 100 warga asing yang diperiksa sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 18 ditahan kerana kesalahan tinggal lebih masa dan tiada dokumen perjalanan sah, katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Penguatkuasaan AADK Negeri Sembilan Mohamad Salleh Abdul Ghani berkata daripada 512 saringan yang dijalankan, sebanyak 50 positif dadah jenis ganja, Benzo, Amphetamine, Methamphetamine dan morfin.

“Kesemua mereka berusia antara 19 dan 60 tahun. Sementara itu, saringan terhadap pemandu bas ekspres didapati negatif,” katanya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.