Kiriman pada: Sun, Feb 7th, 2016

Lebih 10,000 kesalahan direkod ops perayaan JPJ

Kongsi maklumat ini
Tags

KD01_070216_JPJGURUN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan 10,655 kesalahan bagi tempoh 1 hingga 5 Februari lalu, menerusi operasi khas bersempena musim perayaan Tahun Baharu Cina. Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad, berkata ini hasil pemeriksaan terhadap 36,283 kenderaan di seluruh negara melibatkan 1,800 pegawai penguat kuasa JPJ serta 500 sukarelawan Skuad Muda JPJ (SM1JPJ). Beliau berkata kesalahan tiada lesen kenderaan motor atau cukai jalan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 3,041 kes, diikuti tiada lesen memandu (2,758), melanggar kesalahan utama (2,210), kesalahan teknikal (1,287), lain-lain kesalahan (1,233), kesalahan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (117) serta melanggar Akta Pengangkutan Awam Darat (sembilan). “Dalam tempoh itu juga, 2,455 bas diperiksa di 82 depoh syarikat bas ekspres seluruh negara dengan 31 bas diambil tindakan melibatkan kesalahan teknikal. “Pemeriksaan dibuat di 29 terminal bas utama di seluruh negara, 1,297 pemandu bas ekspres diperiksa, empat daripadanya didapati positif dadah,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Advokasi dan Kempen Keselamatan Jalan Raya bersama SM1JPJ Kedah di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Gurun, di sini hari ini. Mengenai taktik penyamaran pegawai JPJ sebagai penumpang bas ekspres menerusi operasi itu, Ismail berkata daripada 206 bas yang diperiksa setakat ini, 28 pemandu diambil tindakan atas pelbagai kesalahan. “Daripada 28 pemandu bas, ada 65 kesalahan dilakukan, antaranya menggunakan telefon bimbit dan memotong di garisan berkembar,” katanya. Operasi khas bersempena Tahun Baharu Cina akan berakhir 16 Februari ini.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.