Kiriman pada: Mon, Nov 2nd, 2015

Lebih 440,000 Calon SPM Mula Duduki Peperiksaan Hari Ini

Kongsi maklumat ini
Tags

SIJIL PELAJARAN MALAYSIAKuala Lumpur – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 bermula di seluruh negara hari ini sehingga 8 Dis yang didahului subjek Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2.

Sejumlah 440,682 calon berdaftar untuk peperiksaan itu yang berlangsung di 3,501 pusat peperiksaan dengan seramai 34,146 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran.

Daripada jumlah itu, 379,466 daripadanya adalah calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, manakala 29,799 merupakan calon persendirian.

Tinjauan Bernama di beberapa pusat peperiksaan mendapati ramai calon berada di perkarangan sekolah sejak awal pagi dan ada yang mengambil kesempatan untuk melakukan ulang kaji sebagai persiapan akhir sebelum memasuki dewan peperiksaan.

Ada juga ibu bapa yang dilihat menemani calon ke sekolah dan memberi kata-kata semangat sebelum peperiksaan SPM bermula pada 8 pagi.

Ibu bapa yang beragama Islam juga mengambil peluang memanjatkan doa serta melakukan solat hajat sementara menunggu anak mereka yang menduduki peperiksaan itu yang berlangsung ketika keadaan jerebu yang melanda negara sebelum ini, semakin pulih.

Di KEDAH, penghidap kanser tulang kaki dan ketumbuhan di muka, Muhammad Amirundin Abdullah, merupakan antara calon yang menduduki SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Malik, Alor Star.

Pengarah Pelajaran negeri, Datin Azuyah Hassan dilihat memberi kata-kata perangsang kepada pelajar tingkatan lima itu yang berkerusi roda dengan dikerumuni rakan sekolah.

“Kita ada 50 calon berkeperluan khas dan 13 pelajar yang terpaksa mengambil peperiksaan di hospital akibat masalah kesihatan,” katanya sambil menambah 35,524 calon menduduki SPM di 279 pusat peperiksaan di Kedah.

Di JOHOR, persiapan yang dibuat Pejabat Pendidikan negeri membolehkan Ding Teck Song, yang mengalami masalah penglihatan, menjawab kertas peperiksaan menggunakan mesin Braille di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Baharu.

Pelajar itu merupakan antara 50,064 calon yang mengambil SPM di 380 pusat peperiksaan seluruh negeri, kata Pengarah Pendidikan Johor, Aminudin Adam.

Di PERLIS, Pengarah Pendidikan negeri, Roslee Ismail berkata pihaknya menyediakan topeng kepada calon sekiranya jerebu muncul semula.

“Kami juga menjalin kerjasama dengan Jabatan Pertahanan Awam, polis dan bomba sebagai persediaan jika berlaku banjir,” ujarnya sambil memberitahu Perlis mempunyai 4,058 calon SPM.

Di MELAKA, 14,500 calon menduduki SPM, tujuh daripada mereka mangsa kemalangan yang terpaksa menjawab soalan di tiga hospital kerajaan.

Di PERAK, Pengarah Pendidikan negeri, Rozi Puteh Ismail berkata pihaknya menyasarkan 95 peratus calon lulus Bahasa Melayu dan Sejarah.

Sebanyak 337 pusat peperiksaan dibuka di negeri itu untuk 39,102 calon menduduki SPM. Di PAHANG, tiga pelajar yang mengambil SPM di Penjara Bentong merupakan antara 22,568 calon SPM di 238 pusat peperiksaan di seluruh negeri.

“Seramai 11 calon terlantar di hospital, dua daripada mereka tidak dapat mengambil peperiksaan kerana berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat kemalangan dan demam denggi,” kata Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan negeri, Mohd Razali Mustafar ketika dihubungi.

Di SABAH, Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Jame Alip meninjau perjalanan peperiksaan itu di SMK Likas.

Selain menasihatkan semua 39,862 calon di negeri itu supaya fokus dan tenang sewaktu menjawab soalan, beliau mengingatkan pengawas peperiksaan supaya menjalankan tugas dengan amanah.

Di PULAU PINANG, Pengarah Pendidikan negeri, Shaari Osman berkata semua kakitangan yang terlibat dengan SPM telah diarah untuk mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan penuh teliti dari awal hingga akhir bagi mengelak kebocoron kertas soalan.

Selain itu, beliau berkata negeri itu mempunyai 24 calon tahanan iaitu tiga calon di Pusat Pemulihan Akhlak Paya Terubong dan 21 di Sekolah Menengah Tunas Bakti, dengan jumlah keseluruhan calon 22,642.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.