Kiriman pada: Sat, Feb 18th, 2017

Lebih Lima Juta Permohonan BR1M 2017 Diluluskan Setakat Ini

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Sebanyak 5,153,238 permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi 2017 telah diluluskan kerajaan setakat ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, sebanyak 3,123,950 permohonan lagi masih dalam peringkat pemprosesan dan keputusan dijangka diumumkan bulan depan.

Beliau berkata bayaran pertama BR1M akan diagihkan secara berperingkat bermula esok.

“Dari segi peringkat umur, kumpulan tertinggi diluluskan adalah daripada golongan 21 hingga 30 tahun serta yang berumur 61 tahun dan ke atas.

“Sebanyak 2,782,799 pemohon akan menerima bantuan RM1,200 manakala 243,434 bagi bantuan RM900 dan selebihnya 2,127,005 layak untuk bantuan RM450,” katanya menerusi catatan terbaharu menerusi laman blognya, www.najibrazak.com.

Katanya mengikut pecahan negeri, Selangor mencatatkan kelulusan tertinggi dengan 666,316 permohonan serta Sabah dan Sarawak yang masing-masing sebanyak 477,482 dan 537,588 permohonan.

Datuk Seri Najib pada masa sama turut menyelar tindakan pembangkang yang acap kali mempolitikkan dan memperlekehkan pemberian BR1M kepada rakyat dengan mengatakan bantuan itu sebagai dedak, usaha memancing undi, dan rasuah.

Katanya pembangkang perlu lebih sensitif kerana penerima menggunakan BR1M untuk membeli keperluan harian dan sebagainya.

“Janganlah menggunakan bahasa kesat, mengelirukan dan merendahkan martabat mereka hanya untuk kepentingan politik.

“BR1M tidak seharusnya dipolitikkan. Berhentilah juga mengatakan saban tahun negara akan muflis, walhal saban tahun juga jumlah BR1M dinaikkan bagi lebih membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan BR1M adalah bantuan ikhlas kerajaan kepada mereka memerlukan, yang tidak mengira kaum, agama, mahupun pegangan parti politik dan diagihkan mengikut kelayakan serta kriteria ditetapkan berdasarkan pendapatan perseorangan atau seisi rumah.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.