Kiriman pada: Thu, Jul 30th, 2015

Lelaki Didakwa Tipu Pemberian Anugerah Dato’ Kerabat Diraja Kelantan

Kongsi maklumat ini
Tags

MAHKAMAH SESYENShah Alam – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu seorang usahawan perabot kononnya boleh mendapatkan anugerah Dato’ Kerabat Diraja Kelantan, untuk mendapatkan habuan RM70,000 pada 31 Mac lepas.

Mohd Azmi Ahmad Zahari, 51, didakwa menipu Yunus Hashim, 46, dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa dirinya boleh mendapatkan anugerah itu, padahal ia tidak sah mengikut Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Pertuduhan itu dibacakan kepadanya di hadapan Hakim G. Ramesh di Mahkamah Sesyen di sini.

Menurut pertuduhan, tindakan Mohd Azmi mendorong Yunus menyerahkan sekeping cek CIMB Islamic cawangan Bandar Baru Klang bertarikh 1 April 2015 bernilai RM70,000 di pejabat sebuah syarikat di Jalan Keluli AJ7/AJ, Pusat Perniagaan Bukit Raja, Seksyen 7, di sini pada 2 petang.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Unit Jenayah Perdagangan, Jabatan Peguam Negara, Allan Suman Pillai menawarkan jaminan RM30,000 atas alasan tertuduh terlibat dengan kes serius.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Mohd Faizal Abdul Rahman memohon jaminan itu dikurangkan kerana anak guamnya perlu menyara keluarga setelah harta pejabat Mohd Azmi dirampas menyebabkan perniagaannya lumpuh.

Ramesh membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 28 Ogos ini.

Sebelum ini, Mohd Azmi didakwa atas perbuatan sama dua tahun lepas di Mahkamah Sesyen Ampang Jaya.

Bagi kes itu, dia didakwa menipu Badrul Hisham Ramli, 45, untuk menerima habuan wang tunai RM60,000 di hadapan Bank HSBC, Jalan Mamanda, Taman Dato’ Ahmad Razali, Ampang, pada 11 pagi, 29 April 2013.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.