Kiriman pada: Sun, Jan 29th, 2017

Lelaki Maut Ditikam Di Kelab Malam

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Seorang lelaki maut ditikam ketika bergaduh dengan sekumpulan lelaki di sebuah kelab malam di Solaris , Bukit Kiara, di sini, awal pagi tadi.

Difahamkan, kejadian berpunca apabila mangsa terlanggar bahu seorang pengunjung kelab malam itu menyebabkan berlaku pergaduhan.

Sumber berkata, mangsa berusia 22 tahun ke kelab berkenaan bersama tiga rakannya kira-kira jam 4 pagi.

Ketika sedang menari dan berhibur, mangsa dikatakan terlanggar bahu seorang pengunjung yang berada di meja bersebelahan sebelum berlaku pergaduhan.

“Sekumpulan kira-kira 20 lelaki memukul mangsa dan rakannya. Dalam pergaduhan itu, mangsa dan seorang rakannya ditikam di dada kanan,” katanya.

Mangsa yang dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejurus kejadian, disahkan meninggal dunia pada jam 9.30 pagi ketika menerima rawatan.

Rakan mangsa yang turut cedera pula dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) tetapi melarikan diri tanpa sempat dirawat.

“Semakan ke atas mangsa yang meninggal dunia mendapati mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau dan pernah 19 kali ditahan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa mengesahkan kejadian.

Katanya, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan usaha mengesan suspek masih dilakukan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.