Kiriman pada: Tue, Mar 3rd, 2015

Lidah Juga Adalah Di Antara Nikmat-Nikmat Allah Taala Yang Teramat Besar

Kongsi maklumat ini
Tags

jagalidahLidah mempunyai dua dimensi iaitu samada pada dimensi kebaikan atau kejahatan, kebaikan atau kemaksiatan dan pahala atau dosa yang kedua-duanya tidak ada batas sempadannya. Seperti anggota-anggota tubuh yang lain, lidah juga adalah di antara nikmat-nikmat Allah Taala yang teramat besar yang dikurniakan kepada manusia.

Walaupun kecil sahaja bentuk fizikalnya tapi impak sangat jelas dan nyata melalui kesaksiannya, terkhususnya pada saat penghabisan hayat seseorang anak Adam, samada berkesudahan dengan iman atau kufur, ketaatan atau kemaksiatan.

Lidah sebenarnya adalah senjata dan alat perkakas syaitan yang terbesar untuk menipu manusia. Seseorang yang hidupnya tidak dikawal oleh ajaran agama atau dalam lafaz yang lain – seseorang yang lemah imannya atau imannya hanya di bibir, lidahnya akan menjerumuskan yang empunya diri kepada bahaya-bahaya besar dalam kehidupan penuh dosa yang membawanya ke neraka. Lidah yang tidak bertulang akan berkata dengan kata-kata yang tidak terkawal kekejian dan kelucahannya. Orang-orang seumpama ini akan mengumpat, memfitnah, menghina, mengejek dan menyindir semaunya.

Lidah individu seperti ini tidak pernah merasa bersalah untuk berkata bohong dan dusta, berkata-kata dengan ria, nifak, berjanji bohong, bersumpah bohong, menipu, mengadu-domba dan memaki-hamun. Mereka sangat membesarkan permusuhan, suka menyakiti orang lain dan merosakkan kehormatan orang dengan lidahnya yang berbisa. Mereka juga suka berbantah-bantahan, suka bertengkar sambil membersihkan diri, sambil juga menokok-tambah dan mengurangi, dan akan mengutuk semau-maunya baik kepada binatang, benda-benda beku dan manusia.

Selain hal yang jelas besar di dalam dosa, lidah juga merbahaya sebagai alat syaitan kerana akan menyebabkan tuannya berbicara mengenai perkara-perkara yang tidak penting, berbual kosong terutama pada perkara-perkara yang batil,. Lidah juga akan mengeluarkan kata-kata yang berlebihan, berkata dengan memek mulut yang dibuat-buat, memaksakan kata-kata dengan bersajak, bersyair, berpantun dan nyanyian yang diharamkan serta memperagakan kepandaian berkata-kata.Tidak ketinggalan pula bahaya suka memberikan pujian, mengabaikan penggunaan kata-kata yang sesuai dalam kandungan perkataan, lebih-lebih lagi yang bersangkutan dengan Allah dan sifat-sifat-Nya dan yang bertalian dengan pokok-pokok agama.Tidak terkecuali juga bersabit pertanyaan orang-orang awam dari hal sifat-sifat Allah Azzawajalla dari hal kalam Allah dan huruf-hurufnya, apakah qadim atau baharu.

Kesemua yang tersebut adalah keenakan pada hati yang meluncur melalui lidah yang semestinya ada penggerak-penggeraknya samada dari sifat dan tabiat manusia itu sendiri atau dari setan yang bermastautin di hatinya.

Lidah yang seumpama ini akan mendatangkan bencana kepada yang empunya diri, sehingga Rasulullah SAW bersabda: ‘Tiada suatu pun dari tubuh yang tiada mengadu kepada Allah tentang lidah di atas ketajamannya’. Ini menunjukkan betapa lidah sangat besar bencananya kepada yang empunya diri berbanding anggota-anggota tubuh yang lain iaitu mata, telinga,perut, kaki, tangan dan kemaluan.

Dari Ibnu Mas’ud diriwayatkan, bahawa ia berada di atas bukit Shafa membaca talbiah seraya mengatakan: ‘Hai lidah! Katakanlah yang baik, nescaya engkau beruntung. Diamlah dari yang jahat, nescaya engkau selamat sebelum engkau menyesal’.

Lalu orang bertanya kepada Ibnu Mas’ud tadi: ‘Hai ayah Abdul Rahman! Adakah ini engkau katakan sendiri atau engkau dengar dari yang lain?’.

Ibnu Mas’ud menjawab: ‘Tidak! Tapi aku dengar dari Rasulullah SAW yang bersabda: ‘Bahawa kebanyakan dosa anak Adam itu pada lidahnya’.

Nabi SAW bersabda seterusnya: ‘Barangsiapa menjaga dari kejahatan qabqabnya, dzabdzabnya dan laqlaqnya, nescaya ia terjaga dari kejahatan seluruhnya’. Qabqab ialah perut, dzabdzab ialah kemaluan dan laqlaq ialah lidah.

Ditanyakan kepada Rasulullah SAW sebab terbesar yang membawa manusia masuk ke syurga. Lalu Rasulullah SAW menjawab: ‘Takwa kepada Allah dan bagus akhlaknya’. Dan ditanyakan pula sebab terbesar yang membawa manusia ke neraka. Maka Rasulullah SAW menjawab: ‘Dua rongga badan iaitu mulut dan kemaluan”. Maka dengan ini jelaslah betapa lidah, bila amanahnya untuk berzikir dan bertahmid, bertilawah al-Quran, berselawat dan berkata dengan perkataan yang baik dikhianati, maka si empunya diri semakin menghampirkan dirinya untuk bermastautin di dalam neraka Allah.

Ubat bagi menyelamatkan diri sebelum terlambat, terutama sewaktu lidah tidak digunakan untuk perkara-perkara yang makruf seperti disebutkan di atas, cuma satu sahaja. Tidak ada jawapan lain atau penawar lain, selain dari berusaha sedaya mungkin, sekuat jiwa untuk mengelakkan diri dari bencana besar di Yaumil Mahsyar nanti selain dengan diam.

Nabi SAW menjelaskan: ‘Barangsiapa diam,nescaya ia terlepas (dari bahaya)’ Sabda Nabi SAW lagi: ‘Apakah tidak aku khabarkan kepadamu, ibadah yang paling mudah dan paling ringan kepada badan? Iaitu diam dan bagus akhlak’.

Nabi Isa a.s. dalam hal ini pernah bersabda : ‘Ibadat itu sepuluh bahagian. Sembilan bahagian daripadanya pada diam. Dan sebahagian lagi pada lari dari mausia’.

Imam Ghazalli r.a. pula berkata: ‘Berbicaralah apabila engkau ingin diam dan diamlah apabila engkau ingin berbicara’. Demi sesungguhnya dengan diam, bukan sahaja seseorang itu selamat dari bahaya-bahaya lidah, tetapi akan mendatangkan fikir, zikir dan kejernihan hati.

Inilah diam yang berguna iaitu umpama ubi, ‘diam-diam ubi, berisi’. Bukan diam yang sia-sia dan percuma, tanpa fikir dan zikir seumpama ‘diamnya besi’ yang semakin lama semakin berkarat.

Nabi SAW berpesan lagi: ‘Barangsiapa suka selamat, maka hendaklah dia membiasakan diam’. Selain itu Nabi SAW juga mengingatkan: ‘Barangsiapa diam, nescaya ia terlepas dari bahaya’.

Orang-orang yang sempurna imannya terutama dalam soal beriman kepada para malaikat, akan sentiasa ingat akan firman Allah SWT: “Tiada suatu perkataan yang diucapkan manusia melainkan didekatnya ada pengawas, siap-sedia (mencatatkan)” – al-Qaf:18. Inilah tugas malaikat Raqib dan Atiq yang mencatatkan kesemua amalan baik dan buruk dari semua perbuatan dan percakapan manusia sehingga tidak tertinggal walau sehuruf pun.

Tersebut pada hadis mengenai suatu yang teramat berat oleh bencana yang berpunca dari lidah sebagaimana disebutkan oleh Anas r.a.: ‘Seorang anak-anak dari kami (golongan Ansar) telah syahid pada hari perang Uhud. Lalu kami dapati di atas perutnya batu terikat lantaran lapar. Maka ibunya menyapu tanah dari mukanya seraya berkata: ‘Selamat syurga bagimu wahai anakku!’. Lalu Nabi SAW menjawab: ‘Di mana engkau tahu? Mungkin ia berkata-kata yang tak diperlukan dan ia tidak berkata-kata apa yang tidak mendatangkan melarat baginya’.

Pada hadis lain tersebut: ‘Bahawa Nabi SAW kehilangan Ka’ab bin ‘Ajrah. Lalu beliau tanyakan di mana Ka’ab sekarang. Mereka menjawab: ‘Ia sakit’. Lalu Nabi SAW keluar bejalan sehingga sampai kepada Ka’ab.Sewaktu Nabi SAW masuk ke tempat Ka’ab, lalu beliau bersabda: ‘Gembiralah hai Ka’ab!’. Maka sahut ibu Ka’ab: ‘Selamat bagimu syurga wahai Ka’ab!’. Lalu Nabi SAW bertanya: ‘Siapakah wanita yang bersumpah ini terhadap Allah?’. Ka’ab menjawab: ‘Ibuku, wahai Rasulullah!’. Lalu Nabi SAW menyambung: ‘Apakah yang memberitahukan kepada engkau, wahai ibu Ka’ab? Mungkin Ka’ab berkata perkataan yang tidak diperlukan atau tidak berkata yang diperlukan’.

Ini menunjukkan betapa lidah menjadi penghalang untuk seseorang masuk ke syurga tanpa hisab walaupun mencapai darjat setinggi syahid apabila lidahnya berbicara pada hal-hal yang tidak diperlukan atau pun tidak pula berbicara pada perkara-perkara yang diperlukan! Dan bayangkan petaka bagi seseorang anak Adam yang tidak mengawal lidahnya pada sepanjang hari dan malam!

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.