Kiriman pada: Thu, Feb 25th, 2016

Liputan Media Mengenai Banjir Di Sarawak Memuaskan

Kongsi maklumat ini
Tags

hjxyKuching – Liputan media mengenai kejadian banjir yang melanda beberapa tempat di bahagian Kuching, Serian dan Samarahan sejak hujung minggu lepas cukup meluas dan memuaskan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Katanya beliau turut berpuas hati dengan komitmen serta bantuan yang dihulurkan pelbagai agensi yang terbabit dalam pengurusan krisis itu.

Beliau berkata pelbagai bantuan disalurkan kepada mangsa banjir termasuk daripada kalangan para sukarelawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan juga orang perseorangan; semuanya berikutan penyebaran luas maklumat yang disempurnakan pelbagai media, tidak kira media arus perdana mahupun media sosial.

Beliau berkata demikian semasa dirujuk mengenai beberapa kritikan yang dibangkitkan media sosial, yang bukan saja memperlekeh liputan media mengenai banjir di bahagian berkenaan, malah turut mempersoal peranan agensi-agensi yang terbabit dalam pengurusan bencana tersebut, baru-baru ini.

“Saya berpuas hati, bagi tahu dia (kritikan)… saya berpuas hati, media melaporkan terus mengenai banjir dan sebagainya, terima kasih kepada media dan agensi yang berkaitan,” katanya dalam satu persidangan media yang diadakan di Dewan Masyarakat Serian, kira-kira 50km dari sini lewat malam tadi, sejurus selepas beliau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Shahidan yang menyifatkan kumpulan yang tidak berpuas hati itu sebagai ‘kumpulan kecil yang sengaja cari pasal’ berkata, setiap malam berita di televisyen pasti tidak lepas daripada menyiarkan berita mengenai banjir di Sarawak, dan media sosial juga tidak pernah putus mengetengahkannya.

Beliau berkata agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), juga mempunyai platform media sosial masing-masing untuk menyebarkan maklumat, namun ia bukan bertujuan untuk bersaing sesama sendiri.

Katanya selain menyebar maklumat, platform ini bertujuan saling melengkapi, semuanya dengan matlamat sama untuk membantu mangsa bencana.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.