Kiriman pada: Tue, Jul 28th, 2015

LTKN Bantu Tingkat Pendapatan Kumpulan B40 Melalui Produk Kenaf

Kongsi maklumat ini
Tags

SAMSUDIN NOORKota Bharu – Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara (LKTN) mengambil inisiatif membantu meningkatkan pendapatan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah atau dikenali sebagai ‘Bottom 40’ (B40) khususnya di kawasan luar bandar, menerusi Skim Pendapatan Rakyat Melalui Kenaf (Spark).

Ketua Pengarahnya Samsudin Noor berkata melalui skim itu, golongan B40 yang tinggal di negeri tanaman kenaf seperti Kelantan, Terengganu dan Melaka akan diupah untuk menghasilkan pelbagai produk berasaskan kenaf.

“Mereka akan diupah untuk menghasilkan kira-kira 240,000 unit produk kenaf setahun dan dengan langkah tersebut ia dapat meningkatkan pendapatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Spark pada Program Promosi Kenaf.

Katanya Spark merupakan satu daripada usaha LKTN sejajar dengan hasrat kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bagi meningkatkan pendapatan kumpulan B40 yang terdiri daripada 40 peratus atau 11.7 juta rakyat yang hidup dengan pendapatan isi rumah bulanan di bawah RM3,050.

Beliau berkata setakat ini terdapat 59 peserta Spark dan pihaknya menyasarkan 100 peserta setahun dengan peningkatan pendapatan daripada RM2,500 sebulan sekarang kepada RM5,000 menjelang 2020.

Samsudin berkata para peserta akan diberi latihan, menyediakan bengkel, bahan mentah, peralatan untuk menghasilkan produk kenaf dan pemasaran.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.