Kiriman pada: Fri, Jan 20th, 2017

Mahathir Fitnah Kerajaan Johor Dan Malaysia

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Razak berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan fitnah besar terhadap Kerajaan Johor dan Malaysia berhubung kenyataannya mengenai Projek Forest City di Johor Bahru.

Perdana Menteri berkata, dakwaan bekas Perdana Menteri kononnya kerajaan membawa masuk warga China dan memberi kewarganegaraan kepada mereka adalah kenyataan palsu.

Katanya, China adalah kuasa ekonomi besar dan kaya raya serta tiada niat menjadikan rakyatnya warga negara Malaysia. Beliau berkata, Forest City tidak menjejaskan kedaulatan negara dan tidak sepatutnya menjadi isu.

“Kita sebagai sebuah kerajaan, kita buat yang terbaik. Saya pergi ke China untuk bawa pelabur ke Malaysia.

“Sebagai contoh, Dubai itu kawasan padang pasir tetapi kerana dasar menarik pelaburan kepada luar, penjualan tanah, bawa masuk pelabur, hari ini Dubai jadi metropolis yang hebat dan rakyat berpendapatan tinggi”.

“Kalau Dubai boleh kaya, kita juga boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Jom Bantu Rakyat di Desa Pandan, Titiwangsa, di sini sebentar tadi.

Najib turut menempelak kenyataan Dr Mahathir semalam, yang menyebut akan memberi DAP jawatan Timbalan Perdana Menteri jika pembangkang menang.

“Selepas 22 tahun beliau mengutuk Lim Kit Siang, kini dia hendak menyerahkan jawatan yang selama ini dipegang Melayu.

“Jadi, kita tidak boleh harap (Dr Mahathir) membela masa depan kita. Jangan kerana politik kita buat perhubungan macam ini,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.