Kiriman pada: Thu, Feb 2nd, 2017

Mahathir Pemimpin Agung Sepanjang Zaman

Kongsi maklumat ini
Tags

Menyorot tarikh bersejarah negara pada 28hb. Februari 1991 dalam menyingkap ucaptama Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia Ke-4 semasa memperkenalkan Wawasan 2020 di Persidangan Majlis Perdagangan Malaysia, beliau telah mencetuskan hasrat untuk menaik taraf status Malaysia daripada sebuah negara yang sedang membangun kepada sebuah negara perindustrian yang maju sepenuhnya menjelang tahun 2020.

Ucapatama beliau itu telah melahirkan salah satu falsafah pemikiran Mahathir terhadap perkembangan dan pembangunan pendidikan negara selama 22 tahun perkhidmatan beliau sebagai tonggak pemimpin negara.

Rentetan dari cetusan idea Mahathir untuk merealisasikan Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2020 melalui Wawasan 2020, maka kerajaan Malaysia telah membangunkan satu kerangka (framework) perlaksanaan pelan tindakan melalui pembangunan sumber manusia yang komprehensif melalui prosess pendidikan kepada semua peringkat golongan di Malaysia terutamanya kaum Bumiputra khasnya masyarakat Melayu.

Mahathir kemudiannya dikenali umum sebagai “Bapa Pemodenan Malaysia” kerana berjaya membangunkan Malaysia sehingga menjadi sebuah negara industri baru yang dikenali di kalangan negara-negara membangun. Mahathir merupakan pemimpin kedua paling lama yang memegang jawatan Perdana Menteri di Asia Tenggara selepas Presiden Suharto dari Indonesia iaitu mentadbir negara selama 22 tahun.

Kini setelah hampir 13 tahun meninggalkan alam kepimpinan negara, beliau kembali semula dengan jalan yang berbeza ia ini menjadi pembangkang yang mahu menyelamatkan negara dari perkara yang hanya beliau sendiri tahu apa yang perlu diselamatkan dan dari perkara apa.

Berbual dengan para totok kepada Mahathir memang tiada cacat celanya Mahathir kepada mereka, malah hampir kesemua kemajuan yang dicapai pada hari ini dikatakan sebagai hasil dari idea Mahathir, sebutlah apa pun projek-projek berprofil tinggi yang dibangunkan pada zaman pentadbirannya termasuk Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas (KLCC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Koridor Raya Multimedia (MSC), Pusat Pentadbiran Putrajaya dan Litar Antarabangsa Sepang.

Kesemua ini mereka kata menjadi lambang kemegahan negara kepada dunia tetapi tidak pula dapat menghuraikan dimanakah kebaikkan pembinaan ini kepada rakyat kebanyakkan kecuali jambatan Pulau Pinang yang menjadi penghubung diantara tanah besar dengan Pulau Mutiara tersebut, selainnya hanya rakyat kelas mewah sahaja yang mengetahui dan bukannya rakyat marhaen.

Persoalan yang tidak pernah terjawab oleh totok pengikut Mahathir ialah pemimpin negara manakah yang mengambil idea Mahathir untuk dijadikan pedoman atau mengunakan cara Mahathir menguruskan negara sebagai contoh ikutan untuk mereka menguruskan negara mereka, jika benar Mahathir menjadi icon kepada dunia.

Tidak seperti Mahathir sendiri yang mengambil contoh negara Jepun dan Korea sebagai panduan, sekurangnya itu lah ikutan kita dahulu ketika Mahathir perkenalkan konsep pandang ke Timur, tetapi kita tidak pernah pun mengetahui atau mendengar adanya negara didunia yang mengambil Malaysia sebagai panduan kepada negara mereka, baik dari apa segi sekali pun.

Walaupun diketika pentadbiran Mahathir ramai yang memuji beliau sebagai tokoh yang harus di ikuti, seperti yang dinyatakan oleh Margaret Thatcher, Bekas Perdana Menteri Britain dalam Biografinya betajuk ‘The Downing Street Years’, yang berkata bahawa beliau mengagumi dan menghormati Mahathir, kerana beliau adalah seorang yang tegas, bijak dan praktikal, tetapi Britain tidak pernah mengambil satu pun contoh pentadbiran Mahathir sahinggalah Margaret bersara.

Begitu juga dengan Bill Clinton, bekas Presiden Amerika juga pernah memuji Mahathir tetapi tidak ada satu pun dasar kerajaan Amerika Syarikat yang menjurus kearah mencontohi pentadbiran Malaysia sahingga hari ini.

Adalah menjadi kebiasaan setiap pemimpin untuk memuji pemimpin yang selainnya ketika mereka ini memegang tampok pemerintahan, malah jika dibandingkan dengan Dato’ Seri Najib tidak kurangnya beliau dipuji, bukan itu sahaja malahan Dato’ Seri Najib telah berjaya menjadi pendamai dalam konflik antara Bangsamoro dan kerajaan Filipina .

Begitu juga dengan isu pendamaian Palastine – Israel yang mana Dato Seri Najib telah diminta untuk menjadi pendamai dalam menyelesaikan isu kekejaman terhadap penduduk Palestin di ketika kedua negara tersebut sedang bergolak, berbeza dengan isu Bosnia dan Mahathir yang hadir setelah Bosnia aman dari peperangan yang menjadi kebanggaan puak Mahathir.

Tidak dinafikan Mahathir menjadi kebanggaan Malaysia suatu ketika dahulu, semua rakyat Malaysia yang lahir pada awal 80an atau pertengahan 70an sudah pasti mereka ini membesar dengan apa yang mereka lihat sebagai hasil kerja Mahathir berbeza pandangan dengan mereka yang lahir pada pertengahan 50an dan 60an yang dapat memahami titik bengik dalam pentadbiran Mahathir.

Walaupun telah memerintah selama 22 tahun dan menjadi icon rakyat dan negara Malaysia, tetapi pemikiran Mahathir tidak pernah di terima pakai oleh pemimpin dunia jika dibandingkan dengan Anwar Ibrahim yang mana Anwar lebih diterima pemikirannya di mata dunia.

Jika tidak masakan Anwar Ibrahim ditawarkan sebagai pensyarah pelawat di Universiti Georgetown, sebuah universiti tertua yang terkenal dalam bidang penyelidikan di Amerika Syarikat setelah ianya di pecat dari kerajaan.

Ini mengambarkan bahawa Mahathir tidaklah sehebat mana, hebatnya Mahathir adalah kerana rakyat Malaysia yang banyak memberi sokongan kepada beliau, jika tiada rakyat maka tiadalah Mahathir boleh menguruskan negara ini selama 22 tahun, maka dengan sebab itulah Mahathir kini cuba meracuni pemikiran rakyat Malaysia dengan dakwaan bahawa negara ini perlu diselamatkan dengan tujuan menggagalkan penggantinya untuk menjadi Perdana Menteri melebihi apa yang pernah beliau capai.

Di zaman pemerintahannya, Lim Kit Siang malah beberapa pemimpin pembangkang yang selain juga ada mencanangkan bahawa negara Malaysia perlu diselamatkan dari cengkaman kuku besi Mahathir yang ketika itu diberi gelaran ‘Mahazalim’ dan ‘Mahafiraun’, tetapi segalanya kini telah berubah.

Kini mereka kesemuanya telah duduk semeja dengan Maha segala Maha ini, demi kelansungan cita-cita mereka yang mahu selamatkan Malaysia, setelah berjaya menyelamatkan Malaysia dari Mahathir usaha mereka terbantut kerana penggantinya Dato’ Seri Najib menjadi penghalang, tiada jalan lain selain mengunakan Mahathir untuk memusnahkan Najib seperti pepatah orang Melayu lama ‘ Hanya Kayu Yang Mampu Menebang Pokok Kayu”.

Benarlah pendapat totok mereka bahawa pemikiran Mahathir sukar di baca, dengan ini terbuktilah bahawa Mahathir adalah pemimpin contoh pada abad ke 21, yang boleh bertukar rupa, sifat dan pendirian, yang hari ini telah menjadi ulu kapak yang mahu menebang pokok yang dia sendiri besarkan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.