Kiriman pada: Wed, Apr 22nd, 2015

Mahkamah Rayuan Kekalkan Ganti Rugi RM100,000 Kepada Johan Raja Lawak

Kongsi maklumat ini
Tags

johanmePutrajaya – Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi memberikan award RM100,000 sebagai ganti rugi kepada aktor dan pelawak Johan Raja Lawak yang menyaman pengarah filem dan drama dan syarikatnya bagi kecederaan dialami penghibur itu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus bagaimanapun mengetepikan ganti rugi RM20,000 yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi kepada isteri Johan, Rozlinawaty Ismail.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk David Wong Dak Wah dan Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, sebulat suara membenarkan rayuan dikemukakan pengarah Mohd Javed Mohd Nizar dan syarikat penerbitannya Juara Filem Sdn Bhd terhadap liabiliti dan ganti rugi diberikan kepada Rozlinawaty, tetapi menolak rayuan mereka terhadap liabiliti dan jumlah ganti rugi diberikan kepada Johan.

Mohd Hishamudin menolak rayuan Mohd Javed bagi RM50,000 sebagai kos perundangan yang diberikan Mahkamah Tinggi kepada Johan, atau nama sebenarnya Mohammad Yazid Lim Mohamad Aziz.

Hakim juga memberikan award RM10,000 sebagai kos perundangan kepada Mohd Javed bagi prosiding di Mahkamah Rayuan.

Pada 18 Julai, 2010, Johan, 29, dan Rozlinawaty, yang juga dikenali sebagai Ozlynn Wati, 32, memfailkan saman sivil RM1 juta terhadap Mohd Javed dan syarikatnya bagi kecederaan dialami pasangan itu semasa perbincangan di sebuah restoran di Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan pada Mei tahun yang sama.

Dalam pernyataan tuntutan, mereka mendakwa Mohd Javed telah menyerang Johan menyebabkan kecederaan pada dahinya, dan isterinya juga mendakwa beliau telah dipukul semasa beliau cuba menghalangnya (Mohd Javed) dan kru syarikat penerbitan itu daripada memukul Johan.

Pasangan itu mendakwa Mohd Javed telah menterbalikkan meja kerana marah.

Mohd Javed merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Julai tahun lepas yang mengarahkan beliau dan syarikatnya membayar ganti rugi RM100,000 kepada Johan dan RM20,000 kepada Rozlinawaty.

Peguam R Jayasingam dan Baljit Singh mewakili Mohd Javed dan syarikatnya manakala Johan dan Rozlinawaty diwakili peguam Suhaimi Saad.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.