Kiriman pada: Thu, Jul 2nd, 2015

MAIWP Tubuh Pusat Pengajian Pondok Pertama Di Kampung Baru

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI JAMIL KHIR BAHAROMPutrajaya – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menubuhkan pusat pengajian pondok pertama di Wilayah Persekutuan dikenali sebagai Pondok Moden Al-‘Abaqirah.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pondok itu yang akan dibuka pada Ogos depan bertujuan untuk melahirkan generasi agamawan yang mampu menguasai pelbagai bidang ilmu.

“Konsep pembelajaran pondok moden ini adalah berteraskan kitab-kitab turath dan disokong dengan pembelajaran akademik,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan pondok moden Al-‘Abaqirah.

Bagi pengambilan pelajar, katanya, calon mestilah seorang warganegara Malaysia, lulus dengan baik Pentaksiran Tingkatan 3 atau setaraf dengannya, serta mempunyai minat dalam mendalami ilmu Islam.

“Untuk fasa pertama tahun ini, pondok moden yang terletak di bangunan MAIWP di Kampung Baru, Kuala Lumpur itu akan mengambil seramai 40 pelajar dan menyasarkan untuk mengambil 100 orang pelajar setahun,”katanya.

Dalam pada itu, Mufti Wilayah Persekutan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata MAIWP akan menanggung sepenuhnya kos pembelajaran termasuk penginapan dan makanan.

“Namun yuran pendaftaran sebanyak RM500 akan dikenakan sebagai simbol komitmen pelajar untuk mengikuti pengajian selama empat tahun di pondok itu nanti,” katanya.

Bagi proses pengambilan pelajar, sesi ujian dan temu duga akan dijalankan bagi memilih mereka yang benar-benar layak mengikuti pengajian.

Katanya pihak MAIWP akan menyiarkan iklan bagi pengambilan pelajar sesi pertama itu di laman web rasmi MAIWP dan akhbar-akhbar tempatan dalam masa dua minggu daripada sekarang.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.