Kiriman pada: Fri, Aug 14th, 2015

Malam Gala Festival Topeng Antarabangsa 2015 Berlangsung Meriah

Kongsi maklumat ini
Tags

FESTIVAL TOPENG ANTARABANGSA MALAYSIAKuala Lumpur – Topeng unik pelbagai bentuk, kostum berwarna-warni sarat dengan aksesori menjadi antara tarikan utama pengunjung pada malam gala Festival Topeng Antarabangsa Malaysia 2015 di Esplanade, KLCC, malam tadi.

Festival yang julung kali diadakan itu melibatkan seramai 379 peserta dari lapan negara iaitu Malaysia, Korea Selatan, China, Thailand, Filipina, Rusia, Indonesia dan Sri Lanka.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata festival bertemakan ‘Menyelusuri masa… Setiap wajah ada cerita’ itu bermaksud setiap topeng yang digunakan mempunyai nilai identiti dan fungsi tersendiri mengikut budaya masyarakat tertentu.

“Festival ini dapat mempamerkan kepada masyarakat tentang kekayaan seni budaya dan tradisi etnik, contohnya di negara kita terdapat seni bertopeng daripada etnik Orang Asli Mah Meri di Pulau Carey, Selangor,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan festival itu.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian Tan Sri Dr Ong Hong Peng, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) kementerian Datuk Ab. Ghaffar A. Tambi dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Datuk Norliza Rofli.

Acara malam gala itu diserikan dengan pertunjukan pengenalan oleh setiap negara menerusi persembahan tarian bertenaga yang mempamerkan identiti sosio budaya kaum atau etnik masing-masing menerusi reka bentuk topeng, kostum, prop dan aksesori hiasan.

Antara jenis tarian menarik yang dipersembahkan kepada pengunjung tempatan dan luar negara di sini ialah tarian ‘ballroom’ (Rusia), opera (China), tarian singa (Korea Selatan) dan lain-lain lagi.

Berlangsung mulai Rabu lalu sehingga Ahad ini, festival topeng ini juga menyediakan program menarik seperti perarakan topeng pada hari ini serta persembahan penuh oleh peserta-peserta pada Sabtu dan Ahad.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.