Kiriman pada: Thu, Jan 22nd, 2015

Malaysia Akan Pulih Lebih Cepat Daripada Kejutan Luar

Kongsi maklumat ini
Tags

15_ngay_vang_mua_tour_gia_soc_DKQTMALAYSIA akan pulih lebih cepat daripada kejutan luar kerana ia sudah terbukti mempunyai daya tahan yang kukuh pada masa lalu, kata Institut Kajian Kontemporari Asia Tenggara (IRASEC).

Felo Penyelidik Kanannya, Dr Elsa Lafaye de Micheaux berkata, masalah ekonomi yang dialami kini berpunca daripada kejutan luar akibat kejatuhan harga minyak mentah dunia.

“Ekonomi merupakan senario ketidaktentuan yang radikal dan kejatuhan harga minyak semasa atau penurunan nilai ringgit merupakan faktor yang tidak dapat dielakkan.

“Ekonomi Malaysia sudah berkali-kali terbukti memiliki daya tahan sejak dekad yang lepas, dan pulih dengan cepat daripada kejutan luar,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perutusan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang langkah-langkah untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi Malaysia, semalam.

Perdana Menteri dalam ucapannya berkata, Malaysia tidak berada dalam kemelesetan atau krisis, seperti yang pernah dialami pada 1997, 1998 dan 2009, dan situasi sekarang tidak boleh disamakan dengan krisis-krisis kewangan tersebut.

“Pada saya, pengumuman itu mempunyai kredibiliti tinggi kerana Malaysia mengunjurkan kadar pertumbuhan yang mampan dan menikmati margin politik dan fiskal sebenar yang boleh diubah.

Pengurangan sebanyak RM5.5 bilion dalam semakan semula Bajet 2015 (daripada bajet keseluruhan sebanyak RM274 bilion) dilihat sebagai semangat politik untuk menggunakan margin ini tanpa menjejaskan ‘Ekonomi Rakyat’, katanya.

“Perdana Menteri bercakap mengenai ‘pelarasan proaktif’ dan ia sebenarnya sangat tepat.

“Mana-mana kerajaan Eropah pastinya mahu menggunakan margin seperti ini tiga atau empat tahun lepas semasa mereka dilanda gelombang kedua krisis kewangan dunia,” kata Elsa, yang juga Felo Penyelidik Kanan IRASEC di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya.

Beliau juga berkhidmat sebagai Profesor Madya di Rennes 2 University, Perancis.

IRASEC ditubuhkan pada 2001 dan merupakan sebahagian daripada rangkaian Institut Penyelidikan Perancis, Kementerian Luar Perancis (IFRE).

Ia bertujuan memajukan penyelidikan sains sosial Perancis ke atas Asia Tenggara dengan melaksanakan kajian tahap tinggi yang melibatkan analisis terhadap politik, sosial, ekonomi dan perubahan persekitaran yang memberi kesan ke atas rantau ini.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.