Kiriman pada: Tue, Jan 24th, 2017

Malaysia Berminat Adaptasi Sistem Pendidikan Awal UK

Kongsi maklumat ini
Tags

London – Malaysia berminat untuk mengadaptasi sistem pendidikan awal kanak-kanak yang diamalkan di Iqra Voluntary Aided (VA) Primary School, Clapham di Selatan London.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata empat faktor yang dilaksanakan di sekolah itu dilihat berpotensi meningkatkan mutu pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.

Katanya, faktor berkenaan adalah kepimpinan pengurusan sekolah yang kuat, infrastruktur yang lengkap, guru yang dedikasi dan kerjasama antara sekolah dan University College London (UCL).

“Sekolah ini menyediakan kemudahan padang permainan untuk kanak-kanak pra sekolah dan infrastruktur lengkap seperti perpustakaan, pusat aktiviti dan makmal untuk sekolah rendah.

“Manakala UCL pula menyumbang pengalaman yang banyak dalam akademik untuk memberi pengetahuan tambahan kepada guru di sekolah ini,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas melawat Iqra Voluntary Aided (VA) Primary School, hari ini.

Mahdzir berada di sini untuk lawatan kerja serta menghadiri Forum Pendidikan Dunia (EWF) 2017 di Park Plaza Westminster Bridge Hotel. Mahdzir berkata, Iqra Voluntary Aided (VA) Primary School adalah sekolah bantuan kerajaan dengan seratus peratus murid beragama Islam.

“Mereka memilih kurikulum kebangsaan United Kingdom (UK) dan pada masa sama ada kelas pengajian Islam.

“Kita lihat apa yang dapat kita bawa balik untuk meningkatkan kualiti pra sekolah di Malaysia. Menariknya di sini, satu kelas ada seorang guru dan tiga pembantu guru.

“Kita akan berbincang di peringkat pengurusan tertinggi kementerian bagaimana untuk menggunakan pakai kaedah pengajaran dan pengurusan pendidikan pra sekolah seperti di Iqra Voluntary Aided (VA) Primary School ini,” katanya.

Dalam lawatan itu, delegasi Malaysia disambut oleh Pengetuanya Humaira Saleem. Iqra Voluntary Aided (VA) Primary School yang mempunyai 240 murid dari usia 3 hingga 11 tahun menawarkan pendidikan Islam dan kurikulum UK kepada masyarakat Islam di Brixton dan kawasan sekitar London.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.