Kiriman pada: Tue, Aug 18th, 2015

Malaysia Bukan Negara Gagal

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI NAJIB TUN RAZAKPutrajaya – Malaysia bukan negara yang gagal seperti dakwaan yang disebarkan kerana banyak kerangka nilaian antarabangsa meletakkan negara ini pada kedudukan yang unggul, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sambil mengakui kerajaan bukannya sempurna, namun beliau menegaskan Malaysia tidak layak digelar negara gagal berdasarkan komitmen kerajaan menjaga matlamat maqasid syariah dalam pentadbiran.

Beliau berkata label dan stigma itu sengaja diwujudkan oleh sebahagian media yang berkepentingan seakan-akan mahu nama Malaysia diburukkan secara sewenang-wenangnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama bertajuk “Wasatiyyah Sebagai Manhaj Generasi Muda Masa Kini” pada Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2015 Islam dan Generasi Muda: Cabaran dan Harapan anjuran Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) di Institut Penilaian Negara (Inspen), hari ini.

Kira-kira 300 peserta termasuk penuntut Universiti Awam (UA) mengambil bahagian pada seminar itu.

Selain menjaga matlamat maqasid syariah seperti memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan milikan harta, Malaysia juga tidak layak digelar negara gagal kerana kajian sebuah badan bebas menunjukkan negara mengungguli ‘The Global Islamic Economy Indicator (GIEI 2014-2015) daripada 70 negara Islam, katanya.

Perdana menteri berkata kajian itu turut merumuskan Malaysia mendahului dengan margin yang besar dari sudut nilaian ekosistem ekonomi Islam di mana perekonomian Islam negara dikatakan sebagai yang paling matang, manakala kewangan Islam juga jauh mendahului negara-negara lain.

Sehubungan itu, perdana menteri berharap generasi muda tidak sewenang-wenangnya menjadi pembawa berita kononnya negara sedang menuju jalan songsang sama ada dari perspektif ekonomi mahupun politik.

Najib juga kesal kerana terdapat generasi muda seakan-akan lebih percaya kepada propaganda dan label buruk yang mungkin sahaja disuntik oleh musuh Islam terutamanya menerusi media sosial.

Katanya sebagai pemimpin, beliau sentiasa bersedia mendengar serta menyantuni generasi muda malah tidak pernah menutup sebarang ruang untuk dikritik dan disanggah.

Oleh itu, beliau berharap generasi berkenaan bersikap adil dalam membuat setiap nilaian dan sanggahan.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.