Kiriman pada: Thu, Aug 27th, 2015

Malaysia-Colombia Setuju Tingkat Hubungan Dua Hala

Kongsi maklumat ini
Tags

kdgfhKUALA LUMPUR – Malaysia dan Colombia bersetuju meningkatkan hubungan dua hala dan memperluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pertanian, pendidikan dan pelancongan antara kedua-dua negara.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata persetujuan itu dicapai susulan lawatan rasmi tiga hari Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman ke Bogota, Colombia bermula Isnin.

Anifah turut melakukan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatnya Maria Angela Holguin Cuellar pada Selasa.

“Kedua-dua menteri bersetuju perlunya penglibatan yang lebih besar daripada sektor swasta untuk menerokai peluang perniagaan di kedua-dua negara. Rentetan itu, Malaysia sedang mengkaji semula keperluan visa yang dikenakan ke atas warga Colombia untuk memudahkan aktiviti pelancongan dan perniagaan yang dijalankan oleh syarikat-syarikat Colombia di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Menyifatkan Colombia sebagai rakan dagang yang penting di Amerika Latin, Anifah turut bersetuju dengan rakan sejawatnya itu mengenai keperluan penerokaan bidang kerjasama baharu yang lebih bermanfaat bagi kedua-dua negara, lebih-lebih lagi Colombia merupakan anggota penting Pertubuhan Pacific Alliance (blok perdagangan yang terdiri daripada Chile, Colombia, Mexico dan Peru).

“Kedua-dua menteri bersetuju perlunya penglibatan yang lebih besar daripada sektor swasta untuk menerokai peluang perniagaan di kedua-dua negara. Selain itu, kedua-dua menteri mengambil peluang membincangkan pelbagai isu antarabangsa dan serantau yang berkepentingan kepada kedua-dua negara, menurut kenyataan itu.

Mereka juga bersetuju supaya lebih banyak pertukaran lawatan di peringkat tertinggi dapat dilaksanakan di antara Malaysia dan Colombia.

Colombia kini menawarkan kursus Bahasa Sepanyol untuk pegawai Malaysia manakala Malaysia turut menawarkan kursus dalam Program Kerjasama Teknikal Malaysia dan latihan di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri untuk pegawai serta diplomat Colombia.

Semasa pertemuan itu, Anifah turut menyampaikan penghargaan negara atas sokongan Colombia terhadap pemilihan Malaysia selaku anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) bagi penggal 2015-2016.

Anifah juga turut memaklumkan kepada rakan sejawatnya perkembangan terkini mengenai peranan Malaysia sebagai Pengerusi Asean, khususnya hal ehwal berkaitan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean dan Pasca Persidangan Menteri-menteri Luar yang telah berlangsung pada 4-6 Ogos lepas, di Kuala Lumpur.

Semasa pertemuan itu, Holguin menegaskan pendirian Colombia bahawa Malaysia merupakan rakan yang amat penting di rantau Asia Tenggara, apatah lagi dengan peranan Malaysia selaku pengerusi Asean pada tahun ini.

Holguin turut menyampaikan hasrat negaranya untuk menjalin kerjasama kerja yang lebih rapat dengan Malaysia, terutamanya dalam industri minyak sawit.

Beliau berharap Colombia dapat mengikut model pembangunan minyak sawit Malaysia yang telah menunjukkan kejayaan melalui pertukaran pengetahuan dan kepakaran di antara kedua-dua negara.

Menteri Pertanian Colombia, Aurelio Iragorri Valencia yang turut hadir semasa pertemuan itu berpendapat Colombia perlu lebih berdaya saing dalam industri minyak sawit, yang pada masa ini masih rendah produktivitinya walaupun negara itu mempunyai lebih 500 juta hektar kawasan kelapa sawit.

Iragorri turut menyatakan hasrat melaksanakan misi teknikal ke Malaysia pada 2016 bagi mendalami kepelbagaian aktiviti hiliran industri berkenaan.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.