Kiriman pada: Sat, Dec 10th, 2016

Malaysia Di Jalan Betul Dalam Pembangunan Mapan

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia telah mengorak langkah penting bagi membangunkan kepakaran global yang diperlukan untuk memacu pembangunan mapan.

Perdana Menteri berkata Malaysia komited dalam menyokong pelaksanaan Agenda 2030 Pembangunan Mapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) yang mencerminkan sifat berbilang dimensi dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Bertemakan ‘Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat’, katanya, RMK-11 menggariskan enam teras strategik bagi memacu ekonomi, menangani cabaran dan mengambil peluang dalam landskap global yang pesat berubah dengan bersepadukan SDG dalam rangka kerja perancangan.

“Pelan ini memperkasakan komitmen kerajaan dalam mensejahterakan kehidupan rakyat dan mewujudkan sebuah negara ekonomi maju, inklusif dan mapan menjelang 2020,” katanya ketika melancarkan Pusat Jeffrey D. Sachs Mengenai Pembangunan Mapan di Universiti Sunway, di sini hari ini.

Pusat berkenaan ditubuhkan dengan kerjasama Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mapan di bawah PBB menerusi sumbangan US$10 juta (RM44.21 juta) daripada Yayasan Jeffrey Cheah.

Ia akan menjadi hab serantau Asia Tenggara bagi mendalami pengetahuan teknikal dalam pembangunan mapan.

Najib berkata Malaysia menyedari kepentingan memulihara sumber asli untuk generasi akan datang dan ancaman oleh peningkatan intensiti dan kekerapan peristiwa berkait dengan cuaca yang melampau.

Bagi mencapai SDG dan objektif rancangan pembangunan lima tahun negara, Malaysia memerlukan pendekatan menyeluruh kerajaan dalam mengoptimumkan sumber-sumber terhad dan kewangan menerusi program kerjasama bersepadu dalam memenuhi pelbagai cabang, katanya.

“Malaysia telah berjaya mengamalkan pendekatan ini menerusi inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan dan akan terus bwerbuat demikian dalam perkara SDG.

“Ia melambangkan komitmen Malaysia terhadap alam sekitar yang sihat dan kelestarian jangka panjang,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.