Kiriman pada: Fri, Jan 13th, 2017

Malaysia Hantar Pulang 28 Warga China Disyaki Militan

Kongsi maklumat ini
Tags

Beijing – Seramai 28 warga China disyaki anggota kumpulan East Turkestan Islamic Movement (ETIM) yang diasaskan militan Uyghur di barat China dan ditahan di Malaysia sehingga Disember 2016, sudah dihantar pulang ke China untuk tindakan undang-undang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka antara 260 individu, termasuk warga Malaysia yang ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan pembabitan dan sokongan kepada kumpulan terbabit aktiviti keganasan.

Beliau berkata, antara akta yang diguna pakai bagi menahan mereka adalah Akta Langkah-langkah Khas Menentang Keganasan di Negara Asing 2015 (SMATA).

Menurutnya, banyak perbincangan diadakan dalam lawatan kerjanya di China sejak 10 Januari lepas berkaitan soal keselamatan serta keganasan dan China juga tidak terlepas menghadapi masalah keselamatan dalaman, termasuk ancaman kumpulan dilatih untuk menyertai IS di luar negara.

“Ada juga rakyat China di Turki, Syria dan Iraq. Mereka datang ke Malaysia melalui beberapa negara sebelum itu dan berlepas ke Syria dan Iraq menerusi Istanbul atau Ankara menggunakan dokumen antarabangsa dari sebuah negara lain.

“China berterima kasih kepada kecekapan PDRM yang dapat menjejaki individu dan kumpulan itu yang jadi pengganas dan mengabui mata beberapa negara sebelum sampai ke Malaysia,” katanya dalam sidang media hari ini.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, ada juga individu dan kumpulan dari China yang ditahan di Malaysia hasil maklumat risikan disalurkan pihak China.

Ia turut menyertakan data-data biometrik bagi membolehkan PDRM menahan mereka sebelum sempat berlepas ke negara seterusnya.

Sementara itu, mengenai kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya pelabur China merampas peluang pelaburan dari kalangan pelabur tempatan, Ahmad Zahid berkata, Malaysia perlu membuka minda dan hati dengan menjemput kehadiran pelabur asing.

“Biarpun kita berbeza pendapat soal intepretasi dan sebagainya, tapi demi kepentingan negara, kita harus melihat peluang pelabur luar untuk capai pertumbuhan ekonomi lebih pesat, ia turut bergantung kepada ‘FDI volume’ dalam negara.

“Pelabur domestik perlu diberi keutamaan, tapi dari segi kapasiti mereka mungkin terhad, terutama dalam menyuntik modal untuk teknologi baharu,” tambahnya.

Beliau berkata, pelaburan yang dibawa masuk bukan hanya berkaitan pembiayaan modal, tetapi turut merujuk suntikan dan pemindahan pengetahuan serta teknologi baharu ke Malaysia.

Zahid dijadual berlepas ke Kunming di wilayah Yunan esok untuk meneruskan lawatan kerjanya di China.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.