Kiriman pada: Mon, Jan 11th, 2016

Malaysia Komited Dukung 16 Prinsip Teras Piagam Komanwel

Kongsi maklumat ini
Tags

PTJ11_210115_ZAHIDKota Kinabalu – Malaysia komited untuk mendukung 16 prinsip teras Piagam Komanwel termasuk tadbir urus demokratik yang diperkemas dan diperkukuh dari semasa ke semasa selain peranan penting Parlimen, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata tadbir urus demokratik dan hak asasi manusia meliputi hal berkaitan keamanan dan keselamatan, toleransi dan hormat, kebebasan memberi pendapat, pemisahan kuasa dan kedaulatan undang-undang, yang menjadi tonggak Komanwel serta termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Speaker dan Yang Dipertua Dewan Negara-negara Komanwel (CSPOC) Ke-23 di sini.

Ahmad Zahid berkata apabila demokrasi diancam, bukan cawangan eksekutif semata-mata yang perlu mencari penyelesaiannya, malah keseluruhan institusi Parlimen perlu bertindak secara kolektif kerana ia merupakan peluang bagi membaharui kepercayaan berterusan terhadap prinsip asas Komanwel.

Katanya cawangan eksekutif menerima pendapat Parlimen kerana perbincangan mengenai pelbagai perkara yang diadakan di Parlimen mencerminkan kehendak rakyat, oleh itu, kedua-dua cawangan kerajaan itu perlu bekerjasama.

Menurutnya Speaker dan Yang Dipertua Dewan dipandang tinggi kerana mereka adalah pemelihara tradisi demokrasi Parlimen, suatu kedudukan yang mencerminkan maruah serta kuasa Dewan yang mereka kelolakan.

Melalui kedudukan mereka, katanya, Speaker dan Yang Dipertua Dewan menjadi peneraju untuk membolehkan perwakilan dan legislatif berfungsi melalui konsep pembangunan secara adil dan inklusif.

Melalui dialog dan usaha membina kesepakatan, Parlimen boleh mendampingi pengundi secara konstruktif bagi mendapatkan pandangan mereka, manakala sikap responsif dan kesediaan para Speaker dan Yang Dipertua Dewan untuk mendengar suara rakyat pula adalah antara kekuatan utama dalam sistem berparlimen, katanya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.