Kiriman pada: Tue, Dec 20th, 2016

Malaysia Masih Selamat Di Sebalik Siri Serangan Di Dunia

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia masih selamat di sebalik siri serangan di beberapa bandaraya di dunia.

Perdana menteri memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa pasukan keselamatan negara, khususnya polis dan angkatan tentera, “bersiap siaga sepenuhnya”.

Dalam catatan di Twitter beliau hari ini, katanya “serangan mengejutkan” terhadap umat Islam di sebuah masjid di Zurich merupakan “satu peringatan bahawa keganasan tidak membezakan kaum dan agama”.

Serangan terhadap pusat Islam di bandaraya di Switzerland itu pada Isnin, oleh penyerang tidak dikenali, mengakibatkan tiga orang cedera, dua daripadanya parah.

Dalam satu lagi catatan, Najib mengutuk “sekeras-kerasnya” pembunuhan Duta Rusia Andrey Karlov di Ankara, Turki, semalam.

Terdahulu, Najib merakamkan ucapan simpati beliau kepada keluarga 12 orang yang terbunuh dan 48 lagi yang cedera dalam serangan di Berlin, Jerman pada Isnin.

“Simpati yang amat mendalam kepada mereka yang terjejas dan menjadi mangsa dalam serangan di Berlin. Kehilangan nyawa yang amat mengejutkan ini berlaku pada masa yang sepatutnya merupakan waktu untuk menyambut perayaan,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.