Kiriman pada: Mon, Mar 9th, 2015

Malaysia Memiliki Banyak Kelebihan Untuk Terajui Kegiatan Ekonomi Dalam Negara ASEAN

Kongsi maklumat ini
Tags

ASEANKuala Lumpur – Malaysia memiliki banyak kelebihan untuk menerajui kegiatan ekonomi dalam lingkungan negara ASEAN berikutan kedudukannya sebagai pengerusi gagasan itu tahun ini serta liberalisasi pelbagai sektornya, kata bekas Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir.

Beliau turut menyifatkan pengalaman dan pengetahuan Malaysia boleh memanfaatkan negara jirannya serta menyumbang kepada pertumbuhan ASEAN.

“Kita juga boleh memaklumkan negara-negara ASEAN yang lain bahawa dengan berbuat demikian, kita mampu mewujudkan persaingan sihat dan memperluaskan aktiviti ekonomi di dalam rantau ini,” katanya pada Sidang Kemuncak Francais Antarabangsa (IFS) 2015.

Acara dua hari yang berakhir hari ini, dianjurkan Perbadanan Nasional Bhd dan dihadiri lebih 400 peserta, kebanyakannya mewakili sektor francais.

Syed Zainal Abidin antara penceramah pada sesi bertajuk ‘Menyertai dan Berkembang Bagi Komuniti Ekonomi ASEAN.’

Beliau turut mengingatkan negara-negara ASEAN agar tidak lagi melihat negara yang berpopulasi tinggi sebagai pilihan pelaburan langsung asing (FDI) kerana perkembangan jaringan pada masa kini tidak lagi relevan dengan strategi berkenaan.

Malaysia akan terus kekal sebagai destinasi berpotensi bagi kalangan negara-negara anggota ASEAN berdasarkan kecemerlangan sistem kewangannya, sokongan padu kerajaan, guna tenaga berkemahiran, dasar FDI yang menarik serta pasaran yang liberal, kata beliau.

Bagi syarikat-syarikat Malaysia yang mahu meneroka pasaran ASEAN, Zainal Abidin menyarankan mereka melihat segmen perkhidmatan yang berpotensi, khususnya bidang penjagaan kesihatan, logistik, hospitaliti dan sektor hijau.

Cabaran lain termasuk perbezaan falsafah perniagaan, perkongsian keuntungan, penerimaan produk, kelulusan kerajaan serta sekatan cukai.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.