Kiriman pada: Mon, Nov 14th, 2016

Malaysia Perlu Manfaatkan Hubungan Erat Dua Hala, Teroka Kepakaran Netherlands

Kongsi maklumat ini
Tags

manfaatKuala Lumpur – Malaysia perlu memanfaatkan hubungan dua hala yang kian erat dengan Netherlands untuk meneroka pelbagai kepakaran negara itu, terutama dalam teknologi pertanian, sistem pengurusan air, penyelidikan dan pendidikan.

Penerokaan itu, jika berhasil, sudah pasti mengukuhkan lagi usaha Malaysia untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.

Duta Besar Malaysia ke Netherlands, Datuk Ahmad Nazri Yusof berkata negara yang dianggap “permata Eropah” itu mempunyai pelbagai kelebihan yang boleh dimanfaatkan Malaysia melalui pelbagai usaha termasuk kerjasama, pemindahan teknologi dan penghantaran pelajar.

“Negara ini mempunyai banyak yang boleh ditawarkan…dan kita belum memanfaatkan potensi (kepakaran Netherlands) sepenuhnya,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di pejabatnya di The Hague, Netherlands baru-baru ini.

Beliau berkata, Netherlands mencapai kemajuan dalam sektor pertanian dan ia merupakan negara kedua terbesar dari segi eksport agro makanan di dunia.

Produk makanan oleh didapati dengan murah memandangkan Netherlands memiliki teknologi pertanian yang hebat sekali gus kos sara hidup juga rendah, katanya.

Justeru itu, beliau berkata, Malaysia boleh mempelajari kepakaran dan menjejaki kemajuan dalam bidang penyelidikan dan teknologi Netherlands.

Ahmad Nazri berkata, selama ini, negara memberi tumpuan kepada kegiatan mempromosi produk pertanian, yang merupakan suatu usaha yang baik, namun secara peribadi beliau berpendapat penyelidikan dan teknologi Netherlands yang maju boleh dibawa ke Malaysia untuk memajukan sektor pertanian negara.

“Saya rasa kita boleh banyak belajar teknologi dan penyelidikan, konsep pertanian, kita masih baru, banyak yang boleh dibawa balik…bukan produk tetapi teknologi, penyelidikan dan konsep,” katanya.

Dari segi eksport dan import produk pertanian bagi kedua-dua negara, ia adalah berpihak kepada Netherlands.

Pada 2015, nilai eksport produk agro makanan Malaysia ke negara itu berjumlah RM1.66 bilion, meningkat berbanding RM1.38 bilion pada tahun sebelumnya, dengan eksport utama agro makanan terdiri daripada produk proses, koko, kopi, teh, rempah serta produk perikanan.

Malaysia mengimport RM8.38 bilion produk agro makanan terutama produk proses, sayur-sayuran dan produk tenusu dari Netherlands.

Bagaimanapun, beliau berkata nilai eksport Malaysia boleh ditingkatkan lagi dengan penambahbaikan kualiti produk.

Ahmad Nazri berkata kejayaan produk pertanian Malaysia memasuki pasaran negara itu, merupakan satu kejayaan yang cukup baik memandangkan Netherlands merupakan pintu masuk ke benua Eropah.

Mengenai pemindahan teknologi pertanian, beliau berkata, syarikat-syarikat Netherlands sedia bekerjasama dan peluang tersebut perlu direbut bagi memajukan sektor pertanian negara sekali gus mengurangkan import makanan serta menangani kos sara hidup yang tinggi.

Beliau berkata beberapa negeri telah menunjukkan minat, dan terkini Perak yang mencari peluang meneroka kepakaran Netherlands untuk memajukan sektor pertaniannya.

Terdapat sebuah syarikat Netherlands yang berminat melabur dan memindahkan kepakaran dalam pengeluaran biji benih sayur-sayuran di Malaysia di samping menjadi pemangkin kepada sektor pertanian, katanya.

Mengenai kepakaran dalam sistem pengurusan air, beliau berkata Netherlands, negara yang terletak di bawah paras laut, memiliki teknologi pengurusan air termaju.

Katanya, beberapa negara maju termasuk Amerika Syarikat menggunakan teknologi serta mengambil perunding dari Netherlands untuk menyelesaikan masalah mereka, justeru itu, Malaysia boleh meneroka peluang yang sama melalui penghantaran penuntut, khusus bagi bidang ini.

“Kenapa tidak teroka dahulu dan lihat sendiri, kalau bagus, teruskan,” katanya.

Ahmad Nazri berkata Netherlands juga terkenal dalam bidang penyelidikan serta mempunyai infrastruktur yang hebat dan banyak syarikat multinasional menempatkan pusat penyelidikan dan pembangunan mereka di negara itu.

Begitu juga dengan teknologi tinggi, pelbagai syarikat utama dalam bidang berkenaan seperti Microsoft, IBM dan Oracle menjalankan penyelidikan dan pengeluaran mereka di negara tersebut.

Dari segi pendidikan pula, beliau berkata negara yang terkenal dengan kincir angin itu juga mempunyai banyak universiti yang memiliki ranking dunia, bagaimanapun hanya 56 penuntut tajaan kerajaan, yang semuanya di peringkat pasca siswazah, menyambung pengajian mereka di negara itu.

Beliau mencadangkan agar pihak bertanggungjawab turut menghantar penuntut di peringkat siswazah memandangkan bahasa pengantar bukan lagi halangan kerana banyak bidang kursus kini dilaksanakan dalam bahasa Inggeris.

Pendidikan negara itu juga kini menerima banyak penuntut asing terutamanya dari China dan Asia Barat, katanya.

Universiti negara itu juga menawarkan kursus seni bina yang merupakan antara terbaik di dunia, katanya.

Bagi sektor pelancongan pula, Ahmad Nazri berkata jumlah warga Netherlands berkunjung ke Malaysia kian merosot, berkemungkinan berikutan ketiadaan penerbangan terus.

Malaysia Airlines tidak lagi mengadakan perkhidmatan ke negara itu sekali gus menyebabkan kebanyakan pelancong yang berhasrat ke Malaysia berdepan kesukaran dan lebih selesa memilih destinasi lain.

Kebimbangan terhadap ancaman pengganas turut mempengaruhi jumlah pelancong, katanya.

Pelaburan Netherlands di Malaysia pula adalah konsisten, kata beliau, dengan menambah baru-baru ini, terdapat tiga syarikat menjalankan kajian untuk meneroka pelaburan di Malaysia dalam bidang tenaga solar, lampu diod pemancar cahaya dan pertanian.

Minat Netherlands untuk melabur di Malaysia masih wujud namun pelaburan itu tidak rancak seperti tahun-tahun sebelum ini berikutan pelbagai faktor termasuk kelembapan ekonomi dunia dan Brexit, katanya.

Semasa ditanya mengenai hubungan dua hala Malaysia-Netherlands, Ahmad Nazri berkata hubungan baik yang terjalin sejak dulu, kini lebih erat selepas tragedi yang berlaku ke atas pesawat MH17.

“Kerjasama banyak agensi terlibat, dari segi politik telah bertambah, masing-masing berusaha mencari jalan untuk dapat menyelesaikan kes yang malang ini,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.