Kiriman pada: Thu, Jan 28th, 2016

MALAYSIA SASAR KEDATANGAN LAPAN JUTA PELANCONG CHINA

Kongsi maklumat ini
Tags

mhgAlor Gajah – Malaysia menyasarkan peningkatan kedatangan lapan juta pelancong dari China dengan pendapatan RM22.1 bilion setahun menjelang lima tahun akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata walaupun sasaran kedatangan pelancong itu agak besar berbanding 1.3 juta pelancong China yang dicapai dalam masa setahun ini, dengan perancangan rapi dan promosi yang berkesan, ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai.

“Ini (pendapatan RM22.1 bilion) juga merupakan jumlah agak besar tetapi tidak mustahil untuk dicapai kerana pelancong China berbelanja purata RM3,345 seorang (sekarang) sama ada perbelanjaan untuk makanan, penginapan dan membeli-belah.

“Biarpun kita mencapai kehadiran pelancong agak tinggi tahun lepas tetapi untuk tempoh lima tahun ini, kerajaan berhasrat untuk memberikan tumpuan kepada beberapa negara tertentu supaya lebih ramai pelancong dari negara berkenaan datang ke Malaysia,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Freeport A’Famosa Outlet di sini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Pengarah Urusan A’Famosa Group Datuk Alex Lau.

TPM berkata usaha menarik pelancong datang ke Malaysia harus dilakukan dengan berkesan kerana perbelanjaan pelancong di negara ini akan memberi impak yang baik kepada ekonomi negara.

“Negara kita seperti negara jiran serantau dan negara lain meletakkan kebergantungan hasil negara kepada pengeluaran dan penjualan petroleum, (tetapi ia) mengalami kemerosotan agak ketara dari segi pendapatan negara terutama pertumbuhan ekonomi.

“Justeru, kehadiran pelancong yang membelanjakan jumlah tertentu akan memberi kesan paling segera kepada pembangunan ekonomi kerana kita dapati tabiat perbelanjaan mereka akan beri kesan positif bagi ekonomi negara kita,” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan membantu agensi berkaitan seperti Tourism Malaysia untuk mendapatkan peruntukan tambahan dalam usaha meningkatkan sektor pelancongan negara.

Katanya peruntukan tambahan itu penting bagi meningkatkan aktiviti pengiklanan serta promosi pelancongan negara dan usaha berkenaan dilihat perlu bagi meningkatkan pendapatan negara dengan lebih berkesan.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.