Kiriman pada: Mon, Dec 12th, 2016

Malaysia, Singapura Tandatangani Perjanjian Kereta Api Laju Selasa

Kongsi maklumat ini
Tags

Putrajaya – Malaysia dan Singapura dijadual menandatangani perjanjian Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura esok semasa Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong melakukan lawatan kerja ke negara ini untuk menghadiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ketujuh, kata Wisma Putra hari ini.

Dalam kenyataannya, Wisma Putra berkata projek kereta api laju itu dijangka meningkatkan ketersambungan, memudahkan perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura, mengeratkan lagi hubungan perniagaan dan meningkatkan hubungan antara rakyat dengan rakyat kedua-dua negara.

Lee akan diiringi isteri, Ho Ching, dan beberapa menteri kabinet serta pegawai kanan, kata Wisma Putra.

“Semasa Pemukiman Pemimpin ketujuh ini, Perdana Menteri Lee Hsien Loong dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, disusuli mesyuarat delegasi.

“Kedua-dua pihak akan membincangkan isu dua hala kepentingan bersama, mengkaji kemajuan kerjasama dua hala sedia ada, meningkatkan momentum perbincangan yang telah diadakan dan inisiatif yang dipersetujui pada Pemukiman Pemimpin 2015,” katanya.

Wisma Putra berkata satu Kenyataan Bersama Pemimpin akan dikeluarkan pada akhir pemukiman itu.

Pemukiman Pemimpin adalah acara tahunan yang dihoskan secara bergilir antara Malaysia dan Singapura.

“Pemukiman Pemimpin kali pertama diadakan pada Mei 2007 di Langkawi dan sejak itu menjadi forum bagi kedua-dua negara untuk mengukuhkan hubungan dua hala,” kata Wisma Putra.

Pada 2015, Singapura merupakan rakan perniagaan kedua terbesar bagi Malaysia di peringkat global, dengan jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencapai US$59.5 bilion (RM190.6 bilion ketika itu), katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.