Kiriman pada: Mon, Jan 25th, 2016

Malaysia sukar capai negara maju jika tolak TPP

Kongsi maklumat ini
Tags

MUSTAPA MOHAMEDKANGAR – Malaysia akan terlepas banyak peluang untuk merapatkan jurang kemajuan serta sukar mencapai status negara maju berpendapatan tinggi jika memilih untuk menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Malah, jelas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, menerusi TPP, negara dijangka menerima pelaburan tambahan sebanyak AS$136 bilion hingga AS$239 bilion selain dapat mewujudkan dua juta peluang pekerjaan menjelang tahun 2027 yang sekaligus meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Pelaburan yang masuk ini mampu mencipta pasaran dan perniagaan lebih meluas. Jika pasaran dalam negara kecil seperti Malaysia tidak cukup, kita harus menerima pembaharuan agar perniagaan kita terus berkembang.

“Kerajaan merasakan amat penting untuk merebut peluang yang menjadi batu loncatan kepada hala tuju negara demi meningkatkan ekonomi rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat TPP peringkat negeri Perlis di Dewan 2020 di sini, malam tadi.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan Setiausaha Kerajaan Negeri Ahmad Zamri Khairuddin.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, Malaysia juga akan kehilangan banyak peluang perdagangan dan pelaburan jika memilih untuk menolak TPP.

“Sebaliknya, Singapura dan Vietnam yang menyertai TPP akan dapat menarik lebih banyak perdagangan dan pelaburan asing ke negara mereka.

“(Ini akan menyebabkan) Malaysia akan beransur-ansur ketinggalan dan menyebabkan jurang kemajuan kita dengan mereka semakin luas kerana TPP memberi manfaat terhadap pembangunan sesebuah negara dalam pelbagai aspek termasuk peningkatan pasaran, pembangunan dasar dan kecanggihan teknologi,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat agar menimbang setiap maklumat TPP dan menolak andaian tidak berasaskan fakta yang bertujuan menakutkan masyarakat. “Kita tidak harus terpengaruh (dengan andaian) akan dikuasai Amerika Syarikat. Banyak lagi negara yang menyertai TPP seperti Australia, Brunei, Kanada, Jepun, Singapura dan New Zealand yang bebas menetapkan hala tuju mereka walaupun menandatangani TPP.

“Malah, TPP tidak terus dikuatkuasakan selepas ditandatangani. Ada tempoh enam bulan untuk kita timbang dan lihat kesan pelaksanaannya dan jika ia menjejaskan banyak perkara, kita boleh keluar tanpa syarat,” katanya.

Mustapa turut menegaskan, Malaysia tidak ditekan oleh mana-mana pihak supaya menyertai TPP dan kerajaan telah menimbang kesannya selain memastikan hak Perlembagaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak tergugat.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.