Kiriman pada: Wed, Jan 20th, 2016

MALAYSIA ULANGI SERUAN AGAR PBB LINDUNGI WILAYAH PALESTIN YANG DIDUDUKI

Kongsi maklumat ini
Tags

jkfgKuala Lumpur – Malaysia mengulangi gesaannya agar Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi perlindungan terhadap wilayah Palestin yang diduduki, sejajar dengan undang-undnag kemanusiaan antarabangsa, khususnya Konvensyen Geneva.

Wakil Tetap Malaysia di PBB Datuk Ramlan Ibrahim berkata perlindungan itu amat penting bagi menamatkan kekebalan pihak tertentu di wilayah berkenaan dan ke arah mencapai keamanan serta keselamatan di wilayah itu, sementara menunggu penyelesaian komprehensif terhadap pendudukan Israel.

“Majlis ini perlu menghantar mesej jelas bahawa kekebalan perlu ditamatkan dan semua pihak, termasuk negara dan pelaku bukan negara, dikehendaki bertanggungjawab bagi perbuatan mereka mencabuli undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perbahasan terbuka Majlis Keselamatan PBB mengenai perlindungan orang awam dalam konflik bersenjata di New York pada Selasa. Teks ucapan beliau dihantar kepada Bernama hari ini.

Menurut Ramlan, Malaysia amat prihatin mengenai serangan secara sembarangan yang menjadikan orang awam, petugas dan kemudahan perubatan sebagai sasaran, yang kini menjadi semakin menjadi-jadi di zon konflik.

Katanya peningkatan perbuatan mencabuli undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia serta tahap kekejaman dan tindakan tidak bertamadun secara luar biasa oleh pihak terlibat dalam pelbagai konflik di seluruh dunia, menunjukkan bahawa wujudnya trend tidak langsung menghiraukan norma serta standard kemanusiaan yang telah lama wujud.

Oleh itu, kata Ramlan, tahap kekebalan yang wujud ini tidak boleh lagi dibiarkan berterusan.

“Orang awam yang terperangkap di zon konflik juga terseksa kerana mengalami penderitaan dan trauma akibat disisih dan dinafikan daripada menikmati kemudahan asas. Wanita dan kanak-kanak khususnya, berdepan dengan risiko menjadi mangsa keganasan seksual dan yang berasaskan gender.

“Budaya kekebalan ini hanya menambahkan lagi racun kepada toksik yang sedia wujud di kawasan konflik,” katanya.

Beliau berkata undang-undang antarabangsa atau norma lain yang patut diamalkan bagi mengawal selia tingkah laku negara atau pelaku bukan negara dalam keadaan konflik, terutama berkaitan perlindungan orang awam, sudah diwujudkan.

“Apa yang tiada ialah pematuhan terhadap standard itu oleh pihak yang terlibat dalam sesuatu konflik di satu pihak, dan kesungguhan politik di pihak masyarakat antarabangsa di satu pihak lagi, untuk menangani secara tegas ancaman terhadap keselamatan orang awam,” katanya.

Sementara itu, Ramlan berkata Malaysia menyambut baik sistem respons PBB, terutama hakikat bahawa semakin banyak operasi keamanan PBB kini mengandungi mandat mengenai perlindungan orang awam.

“Kami menyokong penuh pandangan bahawa dalam memberi mandat kepada pasukan pengaman dalam memastikan orang awam mendapat perlindungan, tetapi PBB juga perlu memastikan anggota pasukan pengaman diberi latihan, kelengkapan dan memperoleh peralatan logistik dan teknologi secukupnya agar mereka dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan berkesan,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.