Kiriman pada: Fri, Mar 6th, 2015

MAS Terus Menaruh Harapan Misi Pencarian Dan Penyiasatan Dapat Merungkai Misteri Kehilangannya

Kongsi maklumat ini
Tags

SETAHUN MH370Kuala Lumpur – Menjelang genap setahun kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 Ahad ini, syarikat penerbangan itu terus menaruh harapan bahawa misi pencarian dan penyiasatan dapat merungkai misteri kehilangannya dan mencari jawapan yang ditunggu-tunggu selama ini.

MAS akan memperingati ulang tahun pertama dengan program khas tertutup di pinggir Kuala Lumpur yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga anak kapal MH370 dan kakitangan MAS.

“Kami mengambil kesempatan ini untuk memperingati rakan-rakan dan sahabat dalam pesawat malang itu…keluarga anggota-anggota anak kapal telah melahirkan hasrat bahawa program untuk mengenang pemergian orang tersayang yang mereka sertai adalah secara tertutup.

“Kami akan menggunakan peluang ini untuk mengingatkan diri kami dan pihak berkuasa berkaitan mengenai obligasi – tugas dan kewajipan moral – untuk meneruskan usaha mencari jawapan dan merumuskan kesimpulan yang muktamad,” kata MAS dalam dalam satu kenyataan.

Pesawat Boeing 777 MAS itu membawa 239 orang apabila hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac, 2014. MAS kehilangan 12 anak kapal serta seorang kakitangan MASkargo.

Pada 29 Jan, kerajaan Malaysia secara rasmi mengisytiharkan insiden itu sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan bahawa kesemua 239 orang yang menaiki pesawat dianggap telah terkorban.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.