Kiriman pada: Fri, Jul 24th, 2015

‘Masa itu emas’ bawa padah jika pandu laju

Kongsi maklumat ini
Tags

klll‘Masa itu emas’. Perumpamaan ini boleh dikatakan sudah diterima semua masyarakat dunia. Ia membawa pengertian betapa pentingnya ‘masa’. Masyarakat dunia mengiktiraf bahawa masa sangat berharga dan tidak boleh disia-siakan. Masa yang berlalu tidak akan kembali. Masyarakat yang membazirkan atau tidak tahu mengurus masa, akan ketinggalan dalam semua bidang. Dalam mengejar arus pembangunan di sesebuah negara, masyarakatnya digalakkan menggunakan masa dengan paling efektif. Mereka digalak mengejar kemajuan sains dan teknologi. Di kilang perusahaan, ketepatan masa dikaitkan dengan pengeluaran. Pekerja perlu berada di depan mesin pengeluaran pada waktu yang ditetapkan. Seorang pelajar dinasihatkan tidak membuang masa dengan hanya berfoya-foya kerana ia menjadi asas kepada kegagalan. Masa perlu digunakan sepenuhnya untuk menelaah buku. Seorang pekerja tidak seharusnya membazirkan masa dengan berbual kosong, sebaliknya perlu menyiapkan kerja dengan cepat untuk memperbaiki mutu perkhidmatan. Pelari pecut atau pemandu kereta lumba Formula 1 (F1), perlu memandu laju kerana kemenangan mereka ditentukan oleh kelajuan dan kepantasan. Kelajuan dan kepantasan berkait rapat dengan masa.

Salah guna konsep ‘masa itu emas’ Malangnya, perumpamaan ‘masa itu emas’ disalah guna oleh sesetengah manusia. Satu contoh ialah kes kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap manusia yang dikaitkan dengan sikap mengejar masa hingga tidak sabar, suka berlumba, mahu cepat sampai ke tempat dituju. Faktor lain yang dipercayai menjadi punca kemalangan ialah sikap cuai pemandu, mengantuk, cuaca buruk, keadaan jalan raya dan kenderaan yang tidak sesuai, lebih muatan dan sebagainya. Namun, melihat kepada banyak kes kemalangan seperti dilaporkan dalam media, memandu laju adalah punca yang paling banyak dilaporkan. Apabila dilaporkan bahawa kenderaan yang terbabit dalam sesuatu kemalangan itu ‘terbabas’ ia memberi gambaran bahawa kenderaan itu dipandu laju. Memandu laju, tidak kira sama ada lori, kenderaan awam, kereta atau motosikal, dikaitkan dengan masa. Akibat mahu mengejar masa untuk sampai ke tempat dituju, mereka memandu kenderaan atau menunggang motosikal melebihi kelajuan biasa. Ada juga kes memandu laju menjadi amalan dan tabiat buruk sesetengah pemandu. Mereka tidak menerima nasihat selagi belum terbabit dalam kemalangan. Akibat mengejar masa, lorong kecemasan pun mereka redah. Mereka memperjudi nyawa sendiri dan setiap penumpang di dalamnya selain pengguna jalan raya. Pemandu lori, treler dan lori tangki, memandu laju kerana mengejar masa untuk memenuhi giliran tugas. Pemandu bas pula mengejar masa untuk berulang-alik dari satu destinasi yang lain untuk memenuhi permintaan penumpang yang bertambah pada musim perayaan. Disebabkan saiz bas dan lori yang besar, mereka adalah ‘raja’ di jalan raya. Saiz, kelajuan dan cara pemanduan lori dan bas ini sangat digeruni. Dalam banyak kes, kenderaan yang terbabit kemalangan dengan bas atau lori adalah kemalangan maut. Sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri tahun ini, kemalangan jalan raya dilaporkan meningkat lebih 12,400 kes membabitkan lebih 200 kematian yang dicatat sejak Ops Selamat dilancarkan 10 Julai lalu. Dalam tempoh perayaan tahun lalu, 10,349 kemalangan dengan 139 kematian dicatatkan. Ini menunjukkan keadaan bertambah buruk, meskipun pelbagai cadangan dan penguatkuasaan sudah dilaksanakan. Pemantau berterusan Terbaru, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata cadangan penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB) kini dalam fasa merangka draf undang-undang bersesuaian. NSTB dicadang berfungsi untuk menyelaras semua sektor pengangkutan merangkumi penerbangan, darat dan air yang dijangka dibentang di Parlimen akhir tahun ini. Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar pula menegaskan pentingnya penguatkuasaan kad pemandu bas dan lori di negara ini sebagai pendekatan menyeluruh, termasuk memperkukuhkan aspek pemantau yang berterusan. Katanya, tindakan punitif dengan menggantung atau membatalkan kad pemandu adalah sekadar penyelesaian jangka pendek. Dalam isu kemalangan jalan raya, kerajaan hanya boleh berikhtiar mencari jalan menyelesaikan masalah ini. Keberkesanan dan kejayaannya terletak kepada pengguna jalan raya. Selagi pengguna jalan raya bersikap pasif dan tidak menghiraukan keselamatan orang lain, malah diri sendiri, selagi itulah apa juga peraturan dan undang-undang yang dilaksanakan tidak akan mendatangkan kebaikan. Rakyat Malaysia terkenal dengan sifat bersimpati terhadap nasib yang menimpa mangsa kemalangan khasnya mereka yang kehilangan keluarga tersayang, tetapi sebaik saja memegang stereng kereta atau motosikal, mereka lupa segala-galanya. Jika beberapa saat lalu mereka melihat kenderaan berkecai atau mayat mangsa kemalangan jalan raya, dalam sekelip mata sahaja, mereka lupa apa yang mereka lihat apabila mereka meneruskan perjalanan. Pelbagai slogan berkaitan kemalangan jalan raya sebelum ini, tidak pernah mereka hayati melainkan ia menimpa diri sendiri.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.