Kiriman pada: Sun, Jan 29th, 2017

Masyarakat Cina Penyumbang Kemajuan Ekonomi Negara

Kongsi maklumat ini
Tags

Bagan Datuk – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata hari ini sumbangan masyarakat Cina terutama dalam kemajuan ekonomi negara tidak dapat dinafikan.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berharap masyarakat Cina akan terus bekerjasama dengan pelbagai kaum di Malaysia untuk terus memajukan negara.

“Kita mahu terus berkongsi, tidak mahu ada masalah, jika ada masalah kita ketepikan. Orang Cina terus kerjasama dengan Melayu, India, Sabah dan Sarawak.

“…kerana orang Cina di Malaysia telah memberikan sumbangan untuk memajukan ekonomi negara kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Mesra Gong Xi Fa Cai bersama Timbalan Perdana Menteri di sini.

Ahmad Zahid mengulangi kecaman terhadap tuduhan dan dakwaan segelintir pihak yang menyatakan usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membawa pelaburan dari China ke Malaysia sebagai satu bentuk penjajahan.

Beliau berkata, tuduhan bahawa usaha Najib ibarat memberi ruang kepada China untuk membeli maruah rakyat Malaysia tidak tepat kerana pelaburan dari negara tembok besar itu hanya 3.3 peratus daripada keseluruhan Pelaburan Langsung Asing (FDI).

“Saya turut adakan lawatan ke China tiga minggu lalu dan pelbagai isu dibincangkan termasuk keselamatan.

“Selain itu, mereka tahu saya mewakili Bagan Datuk, mereka setuju untuk meletakkan pelaburan besar di Bagan Datuk,” katanya yang enggan mendedahkan bentuk pelaburan itu namun berjanji akan mengotakannya.

Sementara itu, ketika berucap pada program kebudayaan ‘Oli Vilaku Kalai Nigalchy’ di sini, Ahmad Zahid mengakui beliau amat mengagumi bintang filem Tamil M. G. Ramachandran sejak daripada kecil.

“Saya pernah pernah menipu arwah bapa untuk melihat filem lakonan artis tersebut,” katanya.

Beliau berkata walaupun M.G.Ramachandran atau lebih dikenali sebagai MGR telah meninggalkan peminatnya, namun semangat dan kenangan tokoh berkenaan masih utuh dan membara dalam kalangan masyarakat India di seluruh dunia.

Katanya, oleh kerana terlalu mengagumi mendiang MGR, beliau turut mengikuti beberapa prinsip tokoh tersebut antaranya menghormati ibu bapa serta suka membantu orang susah.

“Saya ikut prinsip mendiang MGR beliau hormat ibunya, saya juga cukup hormat pada arwah ibu saya walau dia sudah tiada tetapi setiap kali balik kampung saya melawat kuburnya.

“MGR suka tolong orang, saya juga suka tolong orang susah dan miskin. Saya pegang prinsip itu tidak kira apa bangsa saya akan tolong,” kata Ahmad Zahid.

Program yang dihadiri kira-kira 500 masyarakat India itu merupakan anjuran peminat bintang MGR Bagan Datuk.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.