Kiriman pada: Thu, Jul 9th, 2015

Masyarakat Digesa Elak Politik Kebencian

Kongsi maklumat ini
Tags

fdjdgkgKUALA TERENGGANU – Masyarakat di negara ini diminta untuk tidak terpengaruh dengan sentimen politik kebencian bagi menjamin kestabilan dan keharmonian rakyat di negara ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, kewujudan pihak tertentu yang suka bawa unsur sedemikian menggalakkan perkembangan negatif dalam negara.

Menurutnya, ia boleh memberi kesan besar jika tidak dibendung dan boleh menimbulkan provokasi, kebencian dan kemarahan terhadap bangsa serta penganut agama lain.

“Memang mudah tarik perhatian dengan politik kebencian dan menakut-nakutkan rakyat cara murahan serta tidak bertanggungjawab yang boleh musnahkan ketenteraman awam.

“Tetapi untuk baiki semula kemusnahan, kepercayaan dunia kepada negara serta kerosakan kebendaan akan memakan masa dan usaha yang amat lama,” katanya.

Beliau turut mengharapkan politik matang dan penuh bijaksana diamalkan dalam negara daripada semua pihak sebagaimana contoh ditunjukkan Nabi Muhammad SAW.

Apa yang jelas katanya, pemimpin agung Islam itu menolak sikap asabiyyah perkauman dan fahaman agama yang ekstrem.

“Lagipun Perdana Menteri sendiri pernah utamakan konsep wasatiyah yang dukung kesederhanaan. Semoga ALLAH SWT beri hidayah dan bimbingan kepada kita semua hadapi saat mencabar negara hari ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut berharap semua pihak berusaha mencari penyelesaian terhadap masalah semasa yang melanda negara ketika ini dengan menangani isu yang berlaku secara bijaksana dan intelek.

Sempena Ramadan ini, Raja Bahrin turut berharap semua pihak mengambil sikap berhati-hati dalam perkataan dan perbuatan supaya masing-masing tidak terlepas mendapat kemuliaan di bulan ini.

“Kalau tidak, kita akan dapat lebih lapar dan dahaga daripada dapat pahala dan keredaan ALLAH SWT yang dihajatkan,” katanya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.