Kiriman pada: Sat, Mar 14th, 2015

Masyarakat Digesa Tidak Melepaskan Sepenuhnya Tanggungjawab Menjaga Ibu Bapa

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK PADUKA CHEW MEI FUNMelaka – Masyarakat digesa tidak melepaskan sepenuhnya tanggungjawab menjaga ibu bapa mereka yang telah berusia kepada institusi kebajikan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun.

Beliau berkata sebaliknya anak-anak perlu bersama-sama memainkan peranan memberi sokongan secara berterusan bagi membantu golongan warga emas berkenaan meneruskan sisa kehidupan mereka dengan gembira dan bersemangat.

“Kita tidak menyalahkan anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah penjagaan orang tua kerana kita faham ada segilintir mereka terpaksa manghadapi masalah kewangan atau kesusahan untuk mengurus warga emas.

“Tetapi sekurang-kurangnya anak-anak harus melawat ibu atau bapa mereka agar tidak rasa dipinggirkan, sedih dan putus asa untuk meneruskan kehidupan,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Rumah Seri Kenangan Cheng di sini yang turut dihadiri Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Melaka Datuk Latipah Omar dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Melaka Zulyadain Limat.

Rekod daripada Rumah Seri Kenangan Cheng menunjukan daripada 176 penghuni warga emas rumah berkenaan, sebanyak 103 orang tidak menerima kunjungan anak-anak atau anggota keluarga walaupun mereka masih mempunyai keluarga.

Chew berkata kesedaran masyarakat terhadap isu tersebut perlu dipertingkat namun ia terletak pada sikap dan rasa tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa mereka.

Beliau berkata ini kerana pihaknya bimbang sekiranya tiada rasa tanggungjawab terhadap ibu bapa, ia akan menjadi trend atau penyakit dalam jiwa anak-anak sekali gus mengabaikan tanggungjawab menjaga ibu bapa mereka.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.