Kiriman pada: Wed, Jan 18th, 2017

Masyarakat India Terlibat Dalam Pembangunan Bagan Datuk

Kongsi maklumat ini
Tags

Bagan Datuk – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi jaminan bahawa masyarakat India tidak akan dipinggirkan dalam pembangunan baharu pelbagai aspek termasuk pendidikan di Bagan Datuk.

Beliau berkata seperti sebelum ini, masyarakat India akan dilibatkan dalam program pembangunan yang dapat memakmurkan lagi Bagan Datuk, iaitu daerah pentadbiran baharu ke-12 Perak.

“Sebelum ini, kepimpinan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pemimpin politik, pertubuhan bukan kerajaan, warga pendidik dan masyarakat India telah membangunkan kawasan kita ini,” katanya ketika berucap merasmikan Program ‘Ponggu Tamil’ di Hutan Melintang dekat sini, malam ini.

Walaupun hujan, kira-kira 3,000 orang menghadiri program itu yang menampilkan campuran sosiobudaya bersempena degan Pesta Ponggal Sedunia.

Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk berharap penduduk daerah itu juga dapat terus hidup dalam keadaan penuh harmoni dengan mengetepikan sebarang perbezaan pendapat demi mencapai kemajuan bersama.

Mengenai sambutan itu, beliau berharap masyarakat India dapat menterjemahkan semangat Ponggal dalam membawa pembangunan ke Bagan Datuk selain membantu program transformasi kerajaan.

“Masyarakat India di sini telah membuktikan bahawa anak jati Bagan Datuk boleh maju bersama-sama dengan kaum lain,” katanya.

Ponggal adalah festival yang disambut sebagai tanda berterima kasih kepada eleman alam yang menjayakan musim menuai.

Pada 9 Jan lepas, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah telah mengisytiharkan Bagan Datuk sebagai daerah pentadbiran baharu ke-12 Perak.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.