Kiriman pada: Sat, Feb 6th, 2016

MATRADE -TPPA Suntik Semangat Usahawan Tempatan Tembusi Pasaran Antarabangsa

Kongsi maklumat ini
Tags

metd_pf_2508_p22_fwk_2Kuala Lumpur – Penglibatan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan memberi suntikan semangat kepada usahawan tempatan yang berhasrat untuk mengeksport dan meluaskan pasaran produk dan perkhidmatan mereka ke luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Dzulkifli Mahmud berkata agensi tersebut akan bekerjasama dengan usahawan tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi menembusi pasaran 11 negara yang terlibat dengan TPPA.

Beliau berkata, tahun ini, usaha Matrade akan tertumpu kepada membantu usahawan PKS terutamanya bumiputera, wanita dan belia untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti eksport.

Dzulkifli berkata selain membuka peluang kepada syarikat tempatan, TPPA juga akan menyakinkan lagi syarikat luar untuk melihat Malaysia sebagai negara yang mempunyai dasar perdagangan bebas.

“Para pelabur bukan sahaja melihat Malaysia sebagai pembekal barangan dan perkhidmatan tetapi sebagai destinasi untuk mereka datang membuat perniagaan.

“Kita ingin melihat lebih banyak syarikat antarabangsa masuk ke Malaysia, bukan sahaja untuk melabur tetapi untuk membuka ibu pejabat serantau di Malaysia,” katanya kepada pemberita semasa sidang media pengumuman prestasi perdagangan negara bagi 2015.

TPPA yang mempunyai tempoh pengesahan selama dua tahun, akan membuka pasaran kepada 800 juta penduduk dan 40 peratus pasaran baharu.

“Pada tahun lepas, walaupun Malaysia masih belum menandatangani perjanjian perdagangan dengan Peru, Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat, eksport kita ke negara-negara ini adalah sebanyak 41 peratus dan ia dijangka meningkat dengan dengan termeterainya TPPA ini,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi perdagangan negara yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.2 peratus kepada RM1.47 trilion pada 2015, Dzulkifli berkata Matrade menjangkakan prestasi positif ini berlanjutan sehingga tahun ini.

“Pada 2016, sektor perkilangan masih lagi merupakan pemacu kepada eksport Malaysia kerana sektor perkilangan banyak melibatkan pemprosesan dan sektor hiliran yang banyak memberi nilai tambah kepada bahan mentah sedia ada di Malaysia,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.