Kiriman pada: Wed, Jan 20th, 2016

MB JOHOR KETUAI MISI PERDAGANGAN DAN PELABURAN KE JEPUN

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDINTokyo – Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengetuai misi perdagangan dan pelaburan ke Jepun selama empat hari bermula Rabu dalam usaha menarik lebih banyak pelabur asing menyertai pembangunan industri hiliran minyak dan gas serta hab halal di Johor.

Misi perdagangan itu disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Abd Mutalip Abd Rahim, Penasihat Agama Negeri Datuk Noh Gadut, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Datuk Kamaruzzaman AbuKassim dan Pegawai Kewangan Negeri dan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Salehuddin Hassan.

Turut menyertai delegasi tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Petroleum Johor (JPDC) Mohd Yazid Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif J-Biotech Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid dan Pengerusi Eksekutif Dialog Group Bhd Tan Sri Dr Ngau Boon Keat.

Mohamed Khaled akan memulakan jadual rangka lawatan kerjanya dengan pertemuan bersama pelabur Jepun dalam satu majlis makan malam di Hotel Imperial di sini, malam ini.

Keesokan harinya (21 Jan), beliau dijadualkan bermesyuarat dengan tiga pemain industri gas dan petroleum Jepun, sebelum JPDC melakukan sesi penerangan bagi mempromosikan prospek pelaburan di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) kepada kumpulan itu di Hotel Four Season di sini.

Pada hari ketiga pula, Menteri Besar dijadualkan melawat Zon Industri Keihin di Kawasaki, kira-kira 35 kilometer dari Tokyo untuk melihat sendiri pembangunan di kawasan di situ.

Misi perdagangan itu akan diakhiri dengan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara sebuah syarikat Malaysia dan Jepun bagi pembangunan hab halal Johor di Pusat Asean-Jepun.

Lawatan kali ini dijangka turut memberi manfaat kepada 144 syarikat di Johor yang mempunyai kepentingan pelaburan bersama syarikat dari Jepun.

Syarikat-syarikat yang bakal menerima faedah tersebut terlibat dalam sektor pembuatan produk pengguna, telekomunikasi dan automatif.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), jumlah perdagangan antara Malaysia-Jepun pada 2014 dilaporkan mencatat pertumbuhan sebanyak 1.3 peratus kepada RM137.33 bilion berbanding RM135.56 bilion pada tahun 2013.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.