Kiriman pada: Thu, Jan 12th, 2017

MBMB Tunggu Laporan Kes Rasuah Pegawai Khas

Kongsi maklumat ini
Tags

Melaka – Sebarang tindakan penggantungan tugas membabitkan seorang pegawai khas di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang dikaitkan dengan kes rasuah, memerlukan laporan komprehensif yang diperincikan fakta kes dan kaitannya dengan kakitangan itu.

Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Datuk Zainal Hussin, berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai kes rasuah yang didakwa membabitkan pegawai khasnya berikutan tidak diberi taklimat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai perkembangan kes itu.

“Saya sudah menulis surat kepada mereka (SPRM) awal bulan ini untuk mendapatkan maklumat mengenai kes (rasuah) yang didakwa membabitkan pegawai khas saya.

“Buat masa ini, saya tidak boleh memutuskan (tindakan) apa yang perlu dilakukan kerana tidak mempunyai bukti atau pengetahuan mengenai kes itu, atau jika ada sebarang kaitannya dengan MBMB,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Ditanya mengenai prosedur biasa dilakukan ke atas kakitangan yang disiasat berhubung kes rasuah, beliau berkata, memang ada prosedur tetapi sebarang tindakan perlu berlandaskan butiran laporan berkaitan kes berkenaan.

“Saya tak mahu komen banyak… kami hanya akan mengambil tindakan tatatertib mengikut peraturan di negeri ini apabila dia didakwa ke mahkamah,” katanya.

Mengulas lanjut adakah tindakan disiplin bermaksud penggantungan, pemotongan gaji atau pemindahan jabatan, Zainal berkata ‘ya’.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata terpulang kepada Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah untuk membuat keputusan mengenai penggantungan pegawai khas beliau.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.