Kiriman pada: Fri, Jan 29th, 2016

SKMM Lakukan Serbuan Terhadap Individu Muat Naik Kandungan Jelik

Kongsi maklumat ini
Tags

MCMC-BuildingKuala Lumpur – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan tiga serbuan berasingan terhadap tiga individu disyaki memuat naik kandungan yang jelik sifatnya.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan berkata serbuan di Kuala Lumpur, Cheras dan Bangi itu dibuat baru-baru ini berikutan aduan orang awam yang diterima melibatkan penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi dan media sosial.

Kenyataan itu menyebut beberapa kelengkapan komunikasi milik suspek seperti komputer riba, telefon bimbit dan kad sim yang digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut telah disita.

Rakaman percakapan suspek turut diambil bagi membantu siasatan, selain pihak MCMC juga telah menghalang penggunaan beberapa laman sesawang dan blog yang memuatkan kandungan serupa.

“MCMC memandang serius penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi dan media sosial dan ingin mengingatkan orang ramai adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk memuat naik apa bentuk komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain,” kata kenyataan melalui laman Facebook suruhanjaya itu.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.