Kiriman pada: Thu, Mar 5th, 2015

Media Perlu Main Peranan Bentuk Persepsi Komuniti Asean

Kongsi maklumat ini
Tags

Media-Sosial-Untuk-BisnisKuala Lumpur – Media perlu memainkan peranan penting dalam membina dan membentuk persepsi komuniti Asean terhadap hubungan negara-negara di rantau itu terutama dalam bidang ekonomi.

Pengerusi Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) Datuk Zulkefli Salleh berkata negara-negara Asean mempunyai pasaran besar dalam jaringan ekonomi, justeru, hebahan media mengenai perkara itu dapat merealisasikan hasrat Asean membentuk sebuah komuniti yang berjaya.

Mengulas lanjut perkara itu, Zulkefli yang juga Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata peranan itu harus dimainkan pada Sidang Kemuncak Editor Asean pertama yang dijangka berlangsung di Kuala Lumpur pada 24 Ogos ini.

“Pertemuan (Sidang Kemuncak Editor Asean) ini sangat penting kerana rencana untuk mewujudkan komuniti Asean terutama dalam bidang ekonomi harus disokong oleh media negara masing-masing sekali gus membentuk komuniti Asean yang maju dan disegani”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Duta Besar Indonesia Bersama Media Malaysia-Indonesia di Desa Pandan.

Cadangan Sidang Kemuncak Editor Asean itu telah dibawa oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan disokong sebulat suara oleh wakil negara pengasas Asean iaitu Indonesia, Malaysia, Thailand, Singapura dan Filipina pada satu forum media di Batam, Indonesia, Feb lepas.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.