Kiriman pada: Tue, Aug 11th, 2015

Media Perlu Terus Bantu Transformasi Minda Rakyat

Kongsi maklumat ini
Tags

vbxvkhcKUALA TERENGGANU – Pengamal media perlu terus membantu kerajaan negeri dalam mentransformasikan minda dan mengubah paradigma masyarakat agar matlamat Terengganu menjadi negeri maju dalam acuan sendiri tercapai, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata media telah memainkan peranan penting selama ini dalam mendidik masyarakat untuk bersama-sama membangunkan negeri ini secara lestari dan harmoni.

“Walaupun ketika ini terlalu banyak maklumat boleh diperoleh di hujung jari, ia tidak sama dengan kesahihan berita yang disampaikan oleh media arus perdana kerana sumber yang tepat dan maklumat benar.

“Saya berharap agar kerjasama yang terjalin erat antara pengamal media dan kerajaan negeri ini akan terus mantap,” katanya pada majlis Anugerah Kewartawanan Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat)-ExxonMobil di sini malam tadi.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong, Naib Presiden dan Pengarah Kewangan Subsidiari-Subsidiari ExxonMobil di Malaysia, Ernest Miller dan Presiden Kawat Ayob Mamat.

Miller dalam ucapannya berkata ExxonMobil akan sentiasa menyokong Kawat dalam penganjuran anugerah itu kerana ia adalah platform terbaik dalam memastikan rakyat Terengganu sentiasa dihidangkan dengan berita berinformasi yang berfaedah untuk kehidupan mereka.

“Semoga pertandingan ini akan terus menjadi wadah bagi pengamal media berusaha menyajikan berita yang lebih berkualiti dan paling penting mestilah mempunyai impak positif terhadap masyarakat. Terima kasih atas sokongan rakan setugas,” katanya.

Dalam majlis itu, dua petugas Bernama Biro Terengganu memenangi tempat kedua iaitu Nur Fazlizai Ali bagi kategori Penulisan Berita Sukan Terbaik dan Arjasneh Ahmad bagi kategori Foto Terbaik dengan masing-masing membawa pulang RM1,000.

Nur Fazlizai menyifatkan kemenangan itu sebagai hadiah untuk semua petugas di Bernama Biro Terengganu atas semangat kerja berpasukan yang begitu cemerlang selama ini.

“Kemenangan ini meningkatkan lagi motivasi saya untuk terus menghasilkan berita terbaik dan bertugas dengan lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya yang meraih kemenangan buat kali ketiga dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.

Bagi Arjasneh, kemenangan itu adalah sebagai indikator terbaik buat beliau dalam menghasilkan lebih banyak karya yang dapat membantu masyarakat untuk menjadi insan yang prihatin dan sentiasa positif untuk mencapai kejayaan diimpikan.

“Hadiah ini hanya sampingan, paling penting ialah kualiti kerja perlu diutamakan dan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu terutama Unit Foto Bernama,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.