Kiriman pada: Mon, Jul 27th, 2015

Media sosial kini jadi platform sebar fitnah

Kongsi maklumat ini
Tags

media-sosialKUALA LUMPUR: Media sosial kini dilihat menjadi platform pihak tertentu untuk menyebarkan fitnah.

Apa yang lebih membimbangkan, maklumat palsu dan berunsur fitnah itu diterima bulat-bulat tanpa merujuk kepada sumber sahih dan kemudiannya menjadi viral sehingga boleh menjejaskan keselamatan negara.

Insiden pergaduhan di Plaza Low Yat pada 12 Julai lepas, misalnya, hanyalah berpunca daripada insiden mencuri telefon bimbit tetapi menjadi viral kononnya melibatkan isu pergaduhan kaum.

Penolong Setiausaha Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi Majlis Profesor Negara Prof Madya Dr Azlina Ahmad berkata pihak berkuasa perlu melihat perkara itu sebagai sesuatu yang serius dan ditangani secara bijak.

“Tindakan pantas perlu sama ada terhadap pengguna yang menghantar berita palsu atau menyelesaikan situasi jika didapati berita yang dihantar tidak sahih,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika mengulas insiden pergaduhan di Plaza Low Yat itu baru-baru ini turut meminta satu kajian mendalam dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap kebebasan media sosial.

Beliau menyifatkan tindakan sesetengah pihak yang menggunakan media sosial untuk menghangatkan unsur perkauman dalam kejadian itu sebagai tidak bertanggungjawab dan memberi perspektif tidak tepat tentang perkara sebenar yang berlaku.

Pengerusi Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Normah Mustaffa berkata SKMM perlu mempunyai pelan tindakan tersendiri dalam menangani isu itu.

“Kita ingin mendengar lebih banyak tindakan berani yang diambil oleh SKMM dan dilaporkan dalam media sebagai ingatan kepada rakyat agar lebih berhati-hati dalam menyampaikan maklumat di media sosial,” katanya.

Beliau berkata media sosial kini juga dilihat menjadi antara platform oleh pihak tertentu memburukkan kerajaan dan negara.

“Ini kerana media sosial adalah medium paling berkesan dan cepat untuk menyebarkan maklumat dan tohmahan.

“Kebetulan pula banyak isu dalam negara ketika ini dan pihak tertentu memberikan maklumat yang kelihatan seolah-olah sahih,” kata Normah.

Sehubungan itu Normah berkata urus tadbir kerajaan yang lebih telus dan cekap amat diperlukan supaya tidak ada ruang untuk pihak tertentu terutamanya parti pembangkang mengkritik.

Jika dikritik, kerajaan perlu mengambil langkah agresif dengan menggunakan media sosial sebagai medium untuk menjawab segala tohmahan pembangkang, katanya.

“Jangan hanya berdiam diri. Menjawab melalui akhbar atau televisyen agak lambat hasilnya kerana sumber daripada pembangkang sentiasa dimuat naik secara berterusan,” katanya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.