Kiriman pada: Wed, Jan 27th, 2016

Melaka rancang buka MARA Digital

Kongsi maklumat ini
Tags

mara_digital.transformedJASIN: Sebuah pusat komunikasi dan teknologi maklumat (ICT), khusus bagi usahawan Bumiputera dikenali MARA Digital Mall dijangka dibuka di Melaka.

EXCO Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abd Rahman, berkata cadangan itu akan dikemukakan pada mesyuarat EXCO minggu ini, sebelum dikemukakan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Beliau berkata, lobi Wisma Air, Jalan Hang Tuah di pusat bandar raya, di sini dikenal pasti untuk dijadikan pusat penjualan barangan berasaskan ICT itu.

“Kita (kerajaan negeri) sudah bersedia pada bila-bila masa dan akan mengemukakan cadangan di peringkat kerajaan negeri, sebelum mengadakan lawatan tapak bersama pegawai di KKLW.

“Selepas itu, kita akan lakukan persiapan dan kerja pengubahsuaian lokasi perniagaan berkenaan supaya MARA Digital Mall ini dapat direalisasikan dengan segera,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

KKLW sebelum ini mahu mempertimbangkan cadangan beberapa negeri, termasuk Melaka untuk mewujudkan MARA Digital Mall bagi memberi kemudahan kepada orang ramai mendapatkan barangan berkualiti, selain memberi peluang perniagaan kepada peniaga barangan ICT Bumiputera.

Awal Disember tahun lalu, MARA Digital Mall pertama mula beroperasi di MARA Atrium Busana Mall, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Dua lagi pusat ICT berkenaan akan dibuka di Anggerik Mall, Shah Alam dan Glomac, Damansara, selewat-lewatnya Jun ini.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.