Kiriman pada: Tue, Feb 14th, 2017

Memacu Jalinan Pengangkutan Awam Di Bandar

Kongsi maklumat ini
Tags

Rancangan Transformasi Teksi (TTP) bertujuan mengangkat perkhidmatan teksi negara agar setanding dengan standard dunia.

Pengangkutan awam bandar adalah salah satu keutamaan Program Transformasi Negara (NTP) sejak kami mula-mula melancarkan hala tuju program ini pada 2010.

Sebelum itu, naik taraf yang terakhir pernah dilakukan secara besar-besaran ke atas infrastruktur pengangkutan awam negara iaitu lebih 10 tahun lalu, ekoran pelancaran sistem LRT dan monorel pada pertengahan 1990-an.

Dalam tempoh selepas itu, penumpang laluan rel utama berdepan masalah kesesakan ketika waktu puncak, samalah seperti penumpang bas yang menelusuri laluan popular di dalam dan sekitar bandar.

Perkhidmatan yang tidak boleh diharapkan, termasuk pengangkutan yang kerap lewat dan dibatalkan secara tiba-tiba, kesalinghubungan yang tidak lancar antara mod pengangkutan dan kesukaran mendapat akses kepada perkhidmatan, semua ini menjengkelkan pengguna pengangkutan awam.

Akibatnya, perkongsian mod pengangkutan awam di Lembah Klang (termasuk kawasan pusat bandar utama KL) hanya mencatatkan 10 peratus pada 2009.

Populasi dan pertumbuhan ekonomi yang semakin meningkat di Malaysia dan bandar-bandar utama turut menyumbang kepada penggunaan kenderaan persendirian, sehingga menyesakkan rangkaian jalan raya ke tahap maksimum.

Tahukah pembaca bahawa Malaysia tersenarai antara negara pemilik kenderaan peribadi dan pelbagai jenis kereta yang tertinggi di dunia? Apatah lagi populasi Greater Kuala Lumpur/Klang Valley yang diunjurkan mencecah 10 juta pada 2020 berbanding enam juta pada 2009, kesesakan trafik di dalam dan sekitar ibu kota bakal menyamai negara-negara jiran.

Kami sedar betapa situasi ini tidak boleh dibiarkan tanpa penyelesaian. Kualiti hidup penumpang semakin merosot, pencemaran akibat peningkatan kenderaan bermotor semakin merebak dan kesannya ke atas kecekapan secara keseluruhan akan menjejaskan produktiviti rakyat.

Bahkan, daya huni dan tarikan Greater KL/Klang Valley kepada pelabur juga pasti akan terkesan.

Berikutan itu, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pengangkutan Awam Bandar yang diperkenalkan seiring dengan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Greater KL/Klang Valley di bawah NTP disasarkan sebagai penggerak kepada transformasi sistem pengangkutan awam bandar di negara kita ini.

Justeru, inisiatif dijalankan untuk memastikan pelaksanaan dasar dan pembinaan infrastruktur untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam bandar dijalankan dalam jangka masa yang ditetapkan.

Bukan angan-angan Mat Jenin Inisiatif ini termasuk pelaksanaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang buat kali pertama di Malaysia memberikan suatu mandat terfokus kepada semua pihak berkuasa terbabit untuk menguruskan segala aspek berkaitan pengangkutan awam darat secara menyeluruh.

Ini disusuli pula dengan perangkaan Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat pada 2013, diterajui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang menggariskan aspek keselamatan, kebolehyakinan, kecekapan, respons, akses, penyepaduan, kemampuan dan kemampanan dalam sistem pengangkutan awam darat.

Kami turut sedar bahawa transformasi pengangkutan awam bandar perlu progresif.

Oleh itu, baru-baru ini, kerajaan mengumumkan perancangan untuk melaksanakan peraturan kawal selia perkhidmatan ‘e-hailing’ sebagai respons terhadap penggunaan aplikasi ‘ride-sharing’ yang semakin meluas di Malaysia.

Ini adalah sebahagian usaha di bawah Rancangan Transformasi Teksi (TTP) untuk mengangkat standard perkhidmatan teksi negara agar setanding dengan standard dunia, sekali gus mewajarkan rombakan dan penyusunan semula perkhidmatan dan sistem operasi teksi yang sedia ada.

Secara kolektif, dasar dan pelaksanaan program baharu ini berupaya mewujudkan suatu ekosistem yang sihat untuk mencetuskan transformasi pengangkutan awam bandar yang mampan di Malaysia.

Sejak itu, kita telah menyaksikan kemajuan yang signifikan dari aspek pembaikan kapasiti infrastruktur pengangkutan awam negara.

Projek ikonik seperti Transit Aliran Massa (MRT) yang mula menawarkan perkhidmatannya dalam fasa pertama pada Disember 2016 dan projek pemanjangan laluan rel LRT bagi laluan Kelana Jaya dan Ampang menampilkan pembaharuan berbentuk ‘game-changer’ dalam sistem pengangkutan awam.

Pada 16 Disember lalu, saya turut serta bersama khalayak ramai yang mengerumuni Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika beliau merasmikan pembukaan MRT.

Seorang daripada mereka tiba-tiba menghulurkan tangannya kepada saya lalu berkata, ‘Saya turut serta ketika makmal pada 2010 dijalankan. Datuk Idris pasti teruja. Waktu kami cadangkan MRT dalam makmal itu, ramai orang ingat kita hanya berangan-angan Mat Jenin!. Hari ini, MRT menjadi realiti.’

Laluan rel yang baharu ini menyediakan perkhidmatan kepada koridor pendudukan padat di Lembah Klang yang sebelum ini kurang mendapat perhatian, dan dengan itu berhasil memperluas kesalinghubungan di sekitar wilayah ini.

Malah, perkembangan ini mendorong lebih ramai penumpang beralih kepada pengangkutan awam.

Buktinya dapat kita saksikan daripada penggunaan laluan rel yang memberangsangkan, MRT telah mengangkut lebih sejuta penumpang sejak pelaksanaannya dua bulan lalu dan setakat akhir 2016, laluan LRT yang dipanjangkan mencatatkan kadar purata penumpang harian seramai lebih 260,000 orang berikutan pelancarannya pada Jun 2016.

Serentak dengan itu, penyusunan semula rangkaian bas di Greater KL/Klang Valley turut melengkapi usaha kami untuk memperbaiki perkhidmatan dan akses pengangkutan awam, sekali gus memperbaiki kesalinghubungan batuan pertama dan terakhir dengan memperluas cakupan laluan bas di samping meningkatkan kekerapan dan kebolehyakinan perkhidmatan bas.

Lanjutan peluasan kapasiti itu, kadar penumpang pengangkutan awam bandar pada waktu puncak pagi di Greater KL/Klang Valley meningkat kepada 435,439 pada 2016, berbanding 236,412 pada 2010.

Selain itu, setakat 2015 , perkongsian mod pengangkutan awam bandar meningkat dua kali ganda kepada 21 peratus berbanding catatan terakhir pada 2009.

Kaji Selidik Tahap Kepuasan Pengguna yang baru dikeluarkan oleh SPAD turut membuktikan bahawa penumpang kini semakin berpuas hati dengan perkhidmatan pengangkutan awam.

Pada 2016, tahap kepuasan secara keseluruhan meningkat kepada 84 peratus berbanding 74 peratus pada 2015.

Malah, kemungkinan responden akan terus menggunakan pengangkutan awam juga telah meningkat kepada 78 peratus pada 2016, berbanding 67 peratus pada 2015.

Setiap perkembangan itu bukan setakat melegakan kesesakan trafik di jalan raya, bahkan turut menjanjikan masa depan yang lebih cerah untuk sistem pengangkutan awam negara.

Sungguhpun masih banyak pembaikan yang perlu diusahakan, termasuklah penyepaduan sesama mod pengangkutan untuk membolehkan perjalanan yang lancar serta penyiapan projek infrastruktur yang penting termasuk MRT 2 dan MRT3, LRT3 dan Rel Bekelajuan Tinggi Malaysia-Singapura, saya yakin transformasi sistem pengangkutan awam kita sedang bergerak lancar di atas landasan yang tepat untuk mencapai standard bertaraf dunia yang belum pernah dinikmati oleh rakyat Malaysia.

Oleh Datuk Seri Idris Jala
Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU)

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.