Kiriman pada: Thu, Mar 12th, 2015

Membetulkan Fahaman Mereka Yang Menghalalkan Tindakan Membunuh

Kongsi maklumat ini
Tags

_77246406_de27KUALA LUMPUR – Usaha menangani kegiatan kumpulan militan memerlukan jalinan kerja yang mantap melibatkan semua pihak di negara ini, terutamanya dalam membetulkan fahaman mereka yang menghalalkan tindakan membunuh.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata propaganda yang dilancarkan oleh kumpulan militan (IS) menerusi laman sosial memerlukan pihak berkuasa mengerakkan satu jalinan kerja yang mantap bagi menanganinya.

“Selagi kita tidak mengambil tindakan bagi membetulkan tanggapan salah ini, isu perekrutan IS tidak akan berkurangan sebaliknya akan terus bertambah,” katanya.

Katanya, sukar bagi pihak polis secara bersendirian menangani propaganda yang terdapat di laman sosial Facebook, YouTube dan lain-lain medium bagi tujuan merekrut atau menpengaruhi rakyat Malaysia terbabit dalam IS.

Ayub Khan turut melahirkan penghargaan kepada masyarakat yang memberi kerjasama apabila kebanyakan daripada tangkapan yang dibuat di lapangan terbang sejak akhir-akhir ini adalah hasil maklumat yang diberikan oleh orang ramai termasuk keluarga, rakan sekerja, kawan dan juga kenalan rapat suspek sendiri.

“Saya harap orang ramai yang mempunyai maklumat tentang IS bersedia untuk memaklumkan perkara tersebut kepada pihak polis. Walaupun dengan hanya maklumat yang sedikit, bagi membantu pihak polis membendung fahaman IS terus menular di negara ini,”

Mengenai jumlah tangkapan terhadap mereka yang terbabit dengan kumpulan militan IS, beliau berkata sehingga kini polis menahan sebanyak 72 suspek dan 13 daripada individu yang ditahan, merupakan warga asing.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 30 suspek telah dituduh di mahkamah iaitu 22 orang didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) Sosma 2012.

“Sementara dua suspek dituduh di bawah Akta Senjata Api 1971 kerana memiliki senjata api serta peluru dan enam lagi di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu jemputan bagi program ‘Dalam Radar’ Bernama Radio24 di sini malam tadi.

Beliau berkata, daripada statistik polis, jumlah rakyat Malaysia terbang ke Syria bermula Januari hingga Jun tahun lepas hanya 30 orang, namun angka berkenaan meningkat sekali ganda kepada 61 orang antara Julai dan Disember tahun lepas.

“Keadaan ini bukan hanya berlaku di Malaysia malahan di peringkat rantau Asia apabila jumlah yang pergi ke Syria meningkat daripada 300 kepada 600 orang, manakala di peringkat dunia angka mereka yang terlibat dengan penganas IS turut meningkat daripada 12,000 kepada 24,000 dalam tempoh sama,” katanya.

Selain itu beliau berkata polis juga telah berjaya menyekat usaha segelintir rakyat Malaysia yang cuba menyalurkan dana kewangan kepada IS walaupun kes tersebut tidak melibatkan jumlah dana yang besar.

“Kita ada menahan beberapa individu yang cuba menyalurkan dana dalam angka RM7,000 hingga RM5,000 bagi membiayai tiket dan perbelanjaan suspek yang ingin berjihad di Syria,” katanya.

Bagaimanapun dalam beberapa kes, pihak polis terpaksa melepaskan individu terbabit kerana tidak mempunyai bukti yang cukup bagi membawa kes tersebut ke mahkamah.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.