Kiriman pada: Fri, Jul 10th, 2015

Mengejar Lailatulqadar mohon pengampunan

Kongsi maklumat ini
Tags

gartTERDAPAT empat fasa dalam memburu dunia iaitu berjuang bertungkus lumus, fasa stabil, mengecap kejayaan dan terakhir adalah keunggulan. Begitu jugalah fasa yang perlu dilalui umat Muhammad SAW dalam memburu takwa.

Tiada jalan singkat untuk meraih nikmat kejayaan seperti dikongsikan Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi program Islam Itu Indah minggu lalu, yang bersiaran pada jam 10.15 pagi setiap Rabu.

Katanya, jalan meraih takwa dalam ibadah puasa akan membawa kepada ketidakselesaan dan mujahadah yang besar terutama untuk bangkit bersahur serta berjaga menunaikan solat sunat tarawih.

Namun, pada minggu kedua Ramadan dan seterusnya, umpama alah bias tegal biasa, cabaran tidak terasa.
Keadaan biologi dan mental semakin stabil membolehkan diri memulakan langkah lebih laju dengan menambah kualiti serta kuantiti ibadah lain ketika berpuasa pada waktu siang sementara berjaga pada sebelah malam malah, semakin bertambah baik sehingga menjelang hujung Ramadan. Apabila menyentuh mengenai Ramadan, antara kemuliaan terkandung dalamnya adalah nikmat pengampunan Allah SWT yang Maha Luas dan merimbun. Ramadan ini medan untuk mengecapi matlamat menghindarkan diri daripada api neraka. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jagalah diri kalian dan keluarga kalian dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat yang kasar, keras, tidak menderhakai Allah SWT terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim, ayat 6) Maka, wajib bagi setiap individu Muslim menyelamatkan diri daripada terjerumus ke dalam neraka. Bagi mengelakkan diri daripada menjadi penghuni neraka, maka hindari berbuat dosa dan melakukan perkara yang ditegah serta dilarang oleh Allah SWT seperti mengumpat, memfitnah atau merosakkan ukhuwah. Manusia perlu berusaha menjauhkan diri daripada sebarang perilaku yang menyumbang kepada dosa walaupun manusia sentiasa berisiko melakukan kesilapan serta terjebak dengan dosa. Lumrah manusia pasti akan terbabit dengan dosa kecuali nabi yang maksum. Jalan keluar daripada situasi itu adalah dengan menjadi sebaik-baik orang yang berdosa bertaubat atas dosanya. Menerusi taubat, Allah SWT akan memberikan pengampunan-Nya. Taubat adalah nikmat bagi hamba-Nya yang terpilih. Seseorang akan merasa nikmat bertaubat apabila taubatnya diterima Allah SWT. Bermula dengan nikmat dikurniakan hati dan perasaan untuk bertaubat kepada Allah SWT serta ketenangan hati selepas bertaubat. Pengampunan daripada Allah SWT penting kerana tanpa pengampunan terhadap dosa yang dilakukan akan memberi impak besar kepada diri bukan sekadar di dunia juga akhirat. Bagi yang tidak bertaubat, rasa tenang dalam diri dan jiwa akan berganti resah serta timbul gelisah walau harta melimpah ruah. Walaupun disalut kekayaan, jiwa terasa fakir dan hati merasa tidak puas dengan kebendaan dimiliki. Diri berdepan rasa letih yang tidak berkesudahan kerana sibuk yang tidak berpenghujung. Dosa juga boleh mengakibatkan bala bencana menimpa. Azab balasan pada Hari Akhirat Jika seburuk itu balasan di dunia, maka di akhirat kelak mungkin tidak terjangkau oleh kita. Sesungguhnya, azab neraka itu teramat dahsyat sehingga yang paling mendapat ihsan dan paling ringan pun mampu mengakibatkan otak menggelegak. Al-Nu’man Basyir berkata, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya seringan-ringan ahli neraka yang mendapat azab neraka dan menanggung seksanya pada Hari Akhirat ialah seorang lelaki yang diseksa ia dengan diletakkan dua potong api neraka di bawah telapak kakinya. Dengan dua potong api neraka itu sudah cukup untuk menggelegakkan otaknya.” (Riwayat Tirmizi) Allah SWT Maha Mengetahui akan ciptaan-Nya lalu dikurniakan Ramadan yang mana pintu rahmat dan pengampunan dibuka seluas-luasnya buat manusia. Ramadan memberi peluang melalui proses yang akan membawa kepada takwa selain memberi peluang memohon pengampunan daripada Allah SWT. Diriwayatkan, Aisyah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, sekiranya aku berada pada Lailatulqadar, apa yang aku perlu buat?” Baginda menjawab: “Bacalah, Ya Allah! Sesungguhnya Dikaulah Maha Pengampun, Maha Pemurah dan yang suka mengampunkan, maka ampunilah daku.” (Riwayat Tirmizi, Ahmad dan Ibn Majah) Betapa besarnya kaitan Ramadan dengan pengampunan Allah SWT sehinggakan apabila bertemu Lailatulqadar yang diburu sepanjang Ramadan ini, Rasulullah SAW mengajarkan untuk meminta pengampunan Allah Al-Ghaffar. Allah SWT menjelaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan pada waktu akhir malam (waktu sahur) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).” (Surah adz-Dzaariyaat, ayat 18) Perbanyak mohon ampun Oleh itu, kala bersahur perbanyakkan memohon pengampunan Allah SWT kerana waktu itu adalah waktu mustajab doa. Ia diperkukuhkan sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang berpuasa pada Ramadan dengan iman dan ikhlas, maka akan diampuni dosa yang telah dia lakukan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Sabda Baginda lagi: “Barang siapa yang solat malam (pada bulan) Ramadan maka dosanya yang telah dilakukan akan diampuni.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Mohonlah pengampunan daripada Allah SWT, bukan sekadar dosa besar, dosa kecil juga usah diremehkan kerana tiada dosa yang kecil jika dilakukan berterusan dan tiada dosa yang besar jika bertaubat serta istighfar. Sesungguhnya Allah SWT lebih suka mengampunkan dosa daripada mengazab hamba-Nya. Hadis masyhur mengenai doa malaikat Jibril yang diaminkan Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Jibrail telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati Ramadan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa itu.” (Riwayat al-Baihaqi) Semoga kita terhindar daripada tergolong dalam golongan yang keluar daripada Ramadan namun masih lagi berlumuran dosa. Allah SWT tidak pernah jemu mengampunkan dosa jadi, usah jemu memohon memohon ampun. Gunakan peluang keemasan Ramadan untuk meraih keampunan Allah SWT.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.